AM

PROGRAM JEJAK KELUMPANG TINGKAT KESEDARAN PEMULIHARAAN FLORA WARISAN PERAK

17/01/2026 07:35 PM

KUALA KANGSAR, 17 Jan (Bernama) -- Kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan flora warisan sebagai identiti dan khazanah semula jadi negeri Perak dipertingkatkan menerusi pelaksanaan Program Jejak Kelumpang: Bunga Warisan Perak.

Pengerusi Persatuan Konservasi Samudera Sembilan Perak Raja Kamar Azhar Raja Ahmed Siffudin berkata ini adalah kerana hasil penelitian mendapati sultan-sultan terdahulu telah pun mengangkat bunga kelumpang sebagai motif utama di negeri itu.

“Melalui hasil dapatan, terdapat titah bertulis daripada Almarhum Sultan Idris II yang menitahkan semua kad-kad jemputan dan kad hari raya dari istana mestilah mempunyai logo bunga kelumpang.

“Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Shah, baginda menitahkan supaya pakaian songket bunga tabur Orang-Orang Besar Negeri Perak mestilah bermotifkan bunga kelumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Jejak Kelumpang: Bunga Warisan Perak yang disempurnakan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah di Perpustakaan Awam Cawangan Utama di sini hari ini.

Raja Kamar Azhar berkata pihaknya juga mendapati hiasan serta ukiran di pintu-pintu dan singgahsana di Balairong Seri Istana Iskandariah bermotifkan bunga kelumpang.

“Sebenarnya ada banyak lagi hasil dapatan selidik, terutama rumah-rumah Melayu lama dan di masjid-masjid seperti Masjid Panglima Kinta di Ipoh mempunyai motif bunga kelumpang ini,” katanya.

Raja Kamar Azhar berkata pihaknya juga akan melaksanakan penanaman semula pokok kelumpang di sekitar daerah Kuala Kangsar selain berhasrat untuk menanam pokok itu di sepanjang Sungai Perak sehingga ke Bagan Datuk.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan