KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- DPMM FC memulakan kempen Piala Malaysia 2025/2026 dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Red Warrior FC pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Skuad bimbingan James McAllister membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi penyudah Muhammad Ramadhan Sananta.
Pelawat berjaya menggandakan kedudukan hasil jaringan pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad pada masa tambahan separuh masa kedua sekali gus meraih bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Brunei Sabtu depan.
Sementara itu, Sabah FC berjaya mengikat tuan rumah Melaka FC 2-2 pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi seawal minit ketiga sebelum pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-14 apabila Adjin Mujagic memanfaatkan peluang selepas sepakan Fergus Tierney ditampan penjaga gol Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa.
Pemain tengah Kwangil Pak meletakkan Melaka kembali di depan apabila menyempurnakan umpanan Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan yang terdahulu melakukan bantuan jaringan gol pembukaan pasukan tuan rumah.
Melaka bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang importnya, Dino Kalesic dilayangkan kad merah pada minit ke-44 susulan menerima kad kuning kedua.
Sabah yang tidak berputus asa akhirnya sekali lagi bangkit hasil ketajaman Fergus pada minit ke-88, sekali gus menafikan kemenangan Melaka di laman sendiri.
Dalam pada itu, pertembungan antara Imigresen FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Negeri Pulau Pinang berakhir seri tanpa jaringan.
-- BERNAMA
