AM

KPJ HEALTHCARE LAKUKAN PROSEDUR KORONARI KOMPLEKS BERISIKO TINGGI

19/01/2026 05:43 PM

JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Johor Specialist Hospital (JSH) di bawah KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) berjaya melaksanakan prosedur intervensi poronari perkutaneus indikasi tinggi kompleks (CHIP PCI) menggunakan teknologi Intravascular Lithotripsy (IVL).

Kejayaan itu, sekali gus memperkukuh keupayaan pusat perubatan berkenaan dalam mengendalikan penyakit arteri koronari yang kompleks.

KPJ Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, prosedur itu dilaksanakan menerusi Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru, melibatkan rawatan penyakit arteri koronari yang teruk disebabkan  pembentukan kalsium yang banyak dalam salur arteri koronari.

Kes CHIP PCI adalah antara prosedur koronari paling mencabar dari segi teknikal, lazimnya melibatkan pesakit yang menghidap masalah jantung yang kompleks serta memerlukan rawatan pakar, teknologi yang khusus dan pertimbangan teliti daripada aspek klinikal. 

“Selain itu, teknologi IVL menggunakan gelombang tekanan sonik terkawal untuk memecahkan kalsium yang mengeras dalam arteri koronari, sekali gus membolehkan doktor merawat dengan lebih selamat dan berkesan sebelum pemasangan sten.

“… ini mengurangkan keperluan teknik yang lebih agresif, khususnya dalam kalangan pesakit yang mempunyai anatomi kompleks atau pernah menjalani pemasangan sten sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan diketuai Pakar Perunding Kardiologi JSH Dr Mohd Shahrom Ujang, dibantu Pakar Perunding Kardiologi Intervensi Hospital Pakar Tawakkal Dr Zul Hilmi Yaakob.

Kerjasama pada peringkat perunding mencerminkan pelaksanaan pendekatan amalan sistem kesihatan akademik KPJ, yang mengintegrasikan tadbir urus klinikal, bimbingan dan pemindahan pengetahuan bagi keselamatan pesakit serta membina kepakaran tempatan yang mampan.

Dr Mohd Shahrom berkata CHIP PCI memerlukan pengawasan klinikal dan kesiapsiagaan pasukan yang kukuh.

“Menerusi Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru, pesakit lebih mudah untuk mengakses rawatan jantung kompleks yang lebih dekat dengan kediaman mereka sambil mengekalkan standard  keselamatan dan kualiti klinikal,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pencapaian berkenaan mencerminkan keupayaan sebenar sistem kesihatan KPJ.

“Kes ini menunjukkan bagaimana kami membina keupayaan, bukan kebergantungan. Kami memperkukuh kepakaran pakar kami sambil memastikan keselamatan pesakit kekal sebagai teras penjagaan, menerusi proktorship berstruktur, tadbir urus klinikal dan piawaian bersama.

“Di bawah sistem kesihatan KPJ, prosedur kompleks bukan lagi bergantung kepada lokasi rawatan pesakit, sebaliknya memastikan kepakaran, pengawasan dan hasil yang konsisten di seluruh rangkaian. Inilah cara kami menawarkan penjagaan terkini, berteraskan tujuan kami, iaitu Care for Life,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru Johor Specialist Hospital dilancarkan pada Disember 2025 bagi menyokong penjagaan konsisten, tadbir urus klinikal, pendidikan dan penyelidikan, di samping memperluas akses kepada rawatan jantung dan sistem pernafasan dalam rangkaian KPJ.

KPJ Healthcare mengendalikan 30 hospital di seluruh Malaysia dan empat Pusat Jagaan Ambulatori, serta menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 3.3 juta pesakit setiap tahun dan mempunyai  1,491 perunding perubatan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan