AM

TITAH DIRAJA AGONG DILAKSANA TEGAS OLEH KERAJAAN MADANI - PM ANWAR

19/01/2026 05:59 PM

SERDANG, 19 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan dilaksanakan oleh kerajaan MADANI dengan tegas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan Titah Diraja Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 hari ini sebagai jelas dan berprinsip.

“(Titah Yang di-Pertuan Agong) jelas dan baik, (kerajaan) akan melaksanakannya dengan tegas,” katanya ringkas kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan agar amalan rasuah diperangi secara besar-besaran serta menegaskan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu kepada penerima rasuah semata-mata, sebaliknya pemberi rasuah, ejen serta mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.

Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri serta masa hadapan negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan