AM

ISU EKONOMI, REFORMASI PENDIDIKAN TUMPUAN PM ESOK

19/01/2026 06:08 PM

SERDANG, 19 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelaskan mengenai keadaan ekonomi semasa serta masa depan pendidikan negara di Dewan Rakyat esok.

Anwar juga dijadualkan melancarkan pelan pendidikan negara yang baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebagai usaha menyeluruh bagi meningkatkan mutu dan kualiti sistem pendidikan Malaysia.

“Esok di Parlimen, saya jelaskan sedikit isu ekonomi dan selepas itu meluncurkan pelan pendidikan bagi negara kita supaya mutu pendidikan dapat ditingkatkan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, sebuah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

RPN diterajui bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

KPT dan KPM memaklumkan pelancaran itu merupakan iltizam kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing pada peringkat global.

Sementara itu, Anwar berkata dasar yang jelas perlu diterapkan dalam pembangunan negara manakala amalan salah guna kuasa dan rasuah perlu dibanteras sepenuhnya. 

“Dasar mesti jelas, ke mana hala tuju kita dari segi ekonomi. Ekonomi maju mengangkat martabat negara.

“Faedahnya kepada rakyat…hasil pelaburan (berjumlah) ratusan bilion itu boleh dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan Jemaah Menteri lain.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Pada majlis itu, Anwar menyampaikan plak penghargaan kepada semua kementerian, jabatan dan pihak yang menjayakan Kepengerusian ASEAN 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan