ISTANBUL, Jan 20 (Bernama-Anadolu) -- Forum Ekonomi Dunia membuka mesyuarat tahunannya yang ke-56 pada Isnin di Davos, Switzerland, dengan sesi awal memberi tumpuan kepada ekonomi global, transformasi teknologi, kecerdasan buatan dan kemampanan di tengah-tengah peningkatan risiko geopolitik dan geoekonomi.
Dianjurkan di bawah tema “Semangat Dialog”, sidang kemuncak itu berlangsung hingga 23 Jan dan dijangka menarik hampir 3,000 peserta dari 130 negara, menurut Anadolu Ajansi.
Kira-kira 400 pegawai kanan dan pemimpin politik dijangka hadir, termasuk 65 ketua negara dan kerajaan, 55 menteri ekonomi dan kewangan, 33 menteri luar, 34 menteri perdagangan dan industri, serta 11 gabenor bank pusat.
Pemimpin politik dan eksekutif kanan perniagaan berkumpul bagi sesi yang bertujuan memupuk dialog mengenai cabaran paling mendesak dunia serta menterjemahkan perbincangan kepada impak yang nyata.
Penganjur berkata forum itu berlangsung pada ketika ketidaktentuan global semakin meningkat, dengan para peserta dijangka membincangkan isu kompleks merangkumi kestabilan ekonomi dan perubahan teknologi hingga kecerdasan buatan serta kemampanan jangka panjang.
Antara tetamu utama yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Naib Perdana Menteri China He Lifeng, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Canselor Jerman Friedrich Merz, Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa, Presiden Syria Ahmad al-Sharaa, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez dan Presiden Argentina Javier Milei, antara lain.
Trump dijadual menyampaikan ucapan pada petang 21 Jan dan dijangka diiringi Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent serta Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.
-- BERNAMA-ANADOLU
