AM

HAMPIR 3,000 KM PERSEGI KAWASAN BERISIKO TANAH RUNTUH TELAH DIPETAKAN - ARTHUR

20/01/2026 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Hampir 3,000 kilometer persegi (km²) kawasan berpotensi berlakunya kejadian tanah runtuh di seluruh negara telah dipetakan setakat ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pengurusan cerun serta perancangan pembangunan yang lebih selamat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pemetaan seluas kira-kira 2,966 km² itu dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), meliputi kawasan pertanian aktif di tanah tinggi.

Beliau berkata antara kawasan yang terlibat ialah Cameron Highlands seluas 475 km² dan Kundasang seluas 370 km², dengan hasil pemetaan tersebut dijadikan rujukan strategik dalam merancang langkah pencegahan awal, penyelenggaraan cerun serta penentuan lokasi pemasangan sistem amaran awal tanah runtuh.

“Hasil pemetaan ini dimanfaatkan menerusi penyediaan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) yang dikongsi bersama agensi perancang dan pelaksana seperti PlanMalaysia dan Jabatan Pertanian bagi menyokong perancangan guna tanah yang lebih teratur, selamat dan mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai cadangan pelaksanaan pemetaan menyeluruh kawasan perladangan monokultur mengikut kecerunan bagi menilai risiko banjir lumpur dan tanah runtuh, serta melindungi kawasan tadahan kritikal susulan tragedi di Sumatera Barat pada November 2025.

Menurut beliau, dua jenis PBRC telah dibangunkan iaitu berasaskan linear base dan area base, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menyediakan PBRC berasaskan linear base bagi laluan Jalan Persekutuan di Semenanjung manakala JMG menyediakan PBRC berasaskan area base bagi kawasan selain jalan raya dan lebuh raya.

Beliau berkata kementerian turut memperkukuh mekanisme kawalan melalui pelaksanaan penilaian kesan kepada alam sekitar bagi aktiviti pertanian dan perladangan yang diklasifikasikan sebagai aktiviti ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Selain itu, katanya JMG dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memainkan peranan aktif dengan mengemukakan ulasan teknikal di peringkat Pusat Sehenti pihak berkuasa tempatan.

Menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim mengenai mekanisme kawalan pembalakan dan penerokaan tanah di kawasan bercerun serta aspek penguatkuasaan, Arthur berkata pematuhan kepada garis panduan pemetaan geologi terain dan garis panduan PBRC adalah wajib sebelum kebenaran merancang dikeluarkan.

“Pada masa sama, kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) juga diwajibkan bagi setiap pembukaan kawasan pertanian dan perladangan melebihi 20 hektar,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai keberkesanan sistem amaran awal di kawasan hotspot tanah runtuh, Arthur berkata kementerian melalui JMG telah memasang 34 sistem amaran awal yang dilengkapi siren dan lampu strob di lokasi berisiko tinggi.

Beliau berkata sebanyak 41 program pengurusan risiko bencana geologi berteraskan komuniti turut dilaksanakan bagi memperkasakan penduduk setempat melalui latihan kesiapsiagaan, penyediaan pelan pemindahan dan tindak balas kecemasan, selain penyaluran amaran melalui pemantauan masa nyata kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sebelum kegagalan cerun berlaku.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan