POLITIK

PRK LAMAG: BERBAKI TIGA HARI, CALON BN PERHEBAT GERAK KERJA KEMPEN

20/01/2026 02:37 PM

KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob, akan memanfaatkan tempoh kempen yang berbaki tiga hari sebelum hari pengundian Sabtu ini dengan melipatgandakan gerak kerja.

Mohd Ismail, yang lebih dikenali sebagai Miha, berkata walaupun momentum kempennya kini berada pada tahap terbaik, beliau tidak mahu jentera pilihan rayanya alpa, sebaliknya terus giat mendekati seberapa ramai pengundi di kawasan DUN berkenaan.

“Kami sudah selesai melawat semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Lamag dan akan berusaha mengadakan pusingan kedua agar dapat bertemu semula dengan semua pengundi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, yang melibatkan 196 anggota polis dengan 189 daripadanya mengundi secara fizikal, manakala tujuh anggota lagi secara undi pos.

Dalam pada itu, beliau optimis BN mampu melakar kemenangan di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan pada PRK kali ini berdasarkan maklum balas positif pengundi yang diperoleh menerusi tinjauan serta lawatan ke seluruh PDM.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan