AM

RPN 2026-2035 ASAS PEMBENTUKAN BELIA BERKUALITI - MOHAMMED TAUFIQ

20/01/2026 07:31 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Penekanan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 terhadap pembangunan bakat, kemahiran masa depan, penguasaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), inovasi serta pembelajaran sepanjang hayat adalah selari dengan keperluan dan kehendak belia masa kini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata inisiatif itu diyakini mampu menyediakan generasi muda dengan keupayaan berfikir secara kritis, bersifat adaptif dan berani meneroka peluang baharu dalam landskap ekonomi serta sosial yang sentiasa berubah.

“Peluncuran RPN 2026-2035 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara, yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik tetapi turut memberi fokus kepada aspek sahsiah, nilai, kemahiran insaniah, kepimpinan dan daya tahan diri,” katanya.

Beliau berkata pendidikan yang kukuh merupakan asas utama dalam membangunkan belia yang seimbang, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat serta negara.

“Seiring pelaksanaan RPN, saya mengalu-alukan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kesinambungan pembangunan belia daripada alam pendidikan ke fasa latihan kemahiran, kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan kebolehpasaran pekerjaan,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata kejayaan pelaksanaan RPN 2026-2035 memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pendidik, ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta golongan belia sendiri.

“RPN ini akan menjadi asas kukuh dalam membentuk generasi belia Malaysia yang berkualiti, berdaya tahan dan bersedia memimpin negara ke arah masa depan yang lebih mampan, progresif dan sejahtera,” katanya.

Anwar hari ini telah melancarkan RPN membabitkan dua kementerian iaitu KPM dan KPT .

Pelan itu, menurutnya adalah reformasi pendidikan demi masa depan anak-anak yang lebih adil, berdaya saing serta berakar pada nilai agar mereka berpeluang membina kehidupan yang bermakna dan bermaruah.

RPN diterajui bersama oleh KPT (menerusi RPTM) manakala KPM menerajui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Pelaksanaan RPTM 2026-2035 dan RPM 2026-2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026-2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan