JENAYAH & MAHKAMAH

PERMOHONAN LANJUTAN MASA SEMANTAN ESTATE DITOLAK, BICARA TAKSIRAN GANTI RUGI 3 APRIL INI

20/01/2026 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk lanjutan masa bagi penyediaan laporan pentaksiran sebelum pendengaran ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat itu berhubung pemilikan tanah dikenali sebagai Enklaf Duta.

Hakim Roslan Mat Nor membuat keputusan itu selepas meneliti perkembangan kes yang mengambil mengambil masa begitu lama iaitu sejak tahun 1956.

"Mahkamah mengambil kira faktor plaintif (Semantan Estate) yang memerlukan dokumen tersebut untuk laporan penilaian lebih komprehensif bagi membolehkan penilaian pentaksiran sewajarnya.

"Mahkamah turut mengambil kira bantahan daripada peguam defendan (kerajaan) yang menyatakan permohonan lanjutan masa di saat akhir adalah tidak wajar dilakukan kerana jumlah bayaran faedah yang lebih besar perlu dibayar oleh kerajaan sedangkan kelewatan bukan berpunca daripada defendan," katanya semasa pengurusan kes hari ini.

Beliau berkata demi keadilan bagi kedua-dua pihak dan mengambil kira faktor sejarah kes yang terlalu panjang berikutan kepelbagaian proses mahkamah, kes itu tidak dapat ditangguhkan lagi kerana ia akan memakan masa yang lebih lama.

Hakim itu kemudian mengekalkan tarikh pendengaran seperti yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 3, 10 dan 30 April depan. 

Terdahulu, peguam Janet Chai Pei Wing yang mewakili Semantan Estate berhujah bahawa dokumen terbabit diperlukan kerana ia akan menunjukkan akses kepada jalan raya dan infrastruktur yang akan membantu menentukan faktor-faktor untuk dinilai di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. 

"Dokumen terbabit adalah berkaitan perkara yang berlaku kira-kira 70 tahun lepas dan tidak mudah diperoleh, justeru memerlukan bantuan agensi kerajaan untuk mendapatkannya. 

"Apa yang kami mohon ialah satu mekanisme dan tempoh yang munasabah, memandangkan plaintif adalah entiti persendirian yang tidak mempunyai akses atau kawalan terhadap dokumen berkenaan," katanya sambil menambah bahawa permohonan itu bukanlah bertujuan melengah-lengahkan prosiding.

Peguam Kanan Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli, yang mewakili kerajaan, bagaimanapun membantah atas alasan tindakan itu, yang dibuat pada saat akhir, adalah tidak wajar kerana masa yang lebih panjang akan menyebabkan jumlah bayaran faedah lebih besar perlu dibayar oleh kerajaan.

Pada 13 Nov lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat terbabit tidak boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal memperoleh kebenaran.

Kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk pendengaran pentaksiran ganti rugi.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956 iaitu ketika ia diambil alih oleh kerajaan.

Tanah yang dipertikai itu terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Enklaf Duta menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat berkenaan menyaman kerajaan mendakwa tanah itu diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya membuat keputusan yang memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah dan syarikat berkenaan mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.

Kerajaan telah mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan namun gagal.

Pada Feb 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan supaya menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 itu.

Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 mengarahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan untuk memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan