KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM 2026-2035) menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing pada peringkat global.
Menurut ringkasan eksekutif RPTM Kementerian Pendidikan Tinggi, pendidikan tinggi perlu berfungsi bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga membentuk insan dan masyarakat yang bertanggungjawab terhadap negara.
“RPTM 2026-2035 akan berlandaskan empat nilai teras yang digariskan dalam Kerangka Pendidikan Tinggi: berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan,” menurut dokumen itu.
Ringkasan berkenaan menjelaskan bahawa pendekatan berpaksikan kemanusiaan menuntut integrasi ilmu, adab dan nilai secara seimbang, dengan penekanan terhadap kesejahteraan manusia, pemeliharaan alam sekitar serta usaha ke arah kemakmuran bersama.
“Dengan memupuk pertumbuhan peribadi, kemampanan dan kesaksamaan, individu berupaya menangani cabaran global serta memacu kemajuan sosial, alam sekitar dan ekonomi, sekali gus menyumbang kepada masa hadapan yang berdaya tahan dan mampan,” menurut ringkasan tersebut.
Nilai kesejahteraan holistik pula ditekankan melalui pembangunan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan beretika, berdaya tahan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.
Dari sudut impak, RPTM 2026-2035 menyasarkan sistem pendidikan tinggi yang mampu melahirkan bakat siap siaga masa hadapan, adaptif dan berorientasikan penyelesaian masalah dunia sebenar.
“Pelajar perlu bersifat tangkas, adaptif dan berdaya tahan, membangunkan pemikiran dipacu impak serta menyelaraskan perkembangan peribadi dengan keperluan masyarakat dan global,” menurut ringkasan tersebut.
Ringkasan eksekutif tersebut turut menegaskan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu inovasi dan penyelidikan berimpak, dengan penekanan bahawa hasil penyelidikan perlu memberi manfaat nyata kepada rakyat serta menyokong pembangunan mampan.
“Penyelidikan dan inovasi yang bertanggungjawab serta berimpak perlu selari dengan keutamaan negara dan agenda kesihatan bumi bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar,” menurut dinyatakan dalam dokumen tersebut.
Dari aspek pelaksanaan, rancangan itu dibahagikan kepada beberapa gelombang, bermula dengan pengukuhan asas nilai, tadbir urus dan keupayaan institusi sebelum beralih kepada peluasan serta pemerkasaan impak.
Ringkasan itu turut menekankan kepentingan kesejahteraan warga kampus sebagai prasyarat kepada kejayaan pendidikan tinggi.
“Ekosistem pendidikan tinggi yang berkesan perlu menyokong kesejahteraan mental, fizikal dan emosi pelajar serta staf bagi memastikan kelestarian jangka panjang sistem,” menurut dokumen berkenaan.
Secara keseluruhan, RPTM 2026-2035 menegaskan bahawa kejayaan pendidikan tinggi tidak hanya diukur melalui prestasi institusi atau kedudukan penarafan, sebaliknya melalui keupayaannya membentuk insan yang menghayati nilai, berpaksikan kemanusiaan dan menyumbang kepada kemajuan negara serta kesejahteraan sejagat.
-- BERNAMA
