SUKAN

PEARLY-THINAAH MARA KE PUSINGAN KEDUA MASTERS INDONESIA

20/01/2026 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Tiga pasangan Malaysia termasuk beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026 di Jakarta, hari ini.

Turun selaku pilihan pertama kejohanan, Pearly-Thinaah menewaskan gandingan Amerika Syarikat Francesca Corbett-Jennie Gai 21-15, 20-22, 21-19 pada pusingan pertama kejohanan berlangsung di Istora Senayan.

Ranking kedua dunia itu akan menentang beregu Taiwan Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya apabila mengambil masa 31 minit untuk menumpaskan pasangan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-17.

Menanti mereka di pusingan kedua sama ada Wesley Koh-Junsuke Kubo dari Singapura atau Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan.

Satu lagi beregu lelaki, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut mara selepas mengetepikan cabaran Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen dari Taiwan 21-13, 21-18, sekali gus akan bertemu gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

 

Berikut keputusan aksi wakil Malaysia lain di Masters Indonesia:

 

Beregu lelaki:

 

Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (INA) mn Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao 21-18, 19-21, 21-10

 

Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan (TPE) mn Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-18, 21-15

 

Ben Lane-Sean Vendy (GBR) mn Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 17-21, 21-17, 21-3

 

Beregu wanita:

 

Tsang Hiu Yan-Yeung Pui Lam (HKG) mn Chong Jie Yu-Vanessa Ng 21-16, 21-10

 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan