BRUSSELS, 21 Jan (Bernama-Anadolu) -- Suruhanjaya Eropah pada Selasa memperkenalkan pakej keselamatan siber baharu bertujuan memperkukuh daya tahan Kesatuan Eropah (EU) terhadap “ancaman siber dan hibrid yang semakin meningkat” menyasarkan perkhidmatan kritikal dan institusi demokrasi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pakej itu merangkumi semakan semula Akta Keselamatan Siber, yang bertujuan melindungi rantaian bekalan teknologi maklumat dan komunikasi EU, khususnya daripada risiko melibatkan pembekal negara ketiga yang mempunyai kebimbangan keselamatan siber.
Akta berkenaan memperkenalkan rangka kerja “diselaraskan, berkadar dan berasaskan risiko” bagi membantu EU serta negara anggotanya mengenal pasti dan mengurangkan risiko merentasi 18 sektor kritikal.
“Dalam landskap geopolitik hari ini, keselamatan rantaian bekalan bukan lagi sekadar berkaitan keselamatan teknikal produk atau perkhidmatan, tetapi juga melibatkan risiko berkaitan pembekal, khususnya kebergantungan dan campur tangan asing,” menurut suruhanjaya itu.
Pakej tersebut juga akan membolehkan langkah pengurangan risiko mandatori terhadap rangkaian mudah alih Eropah daripada pembekal berisiko tinggi, selaras dengan langkah yang telah diterima pakai di bawah kotak alat keselamatan 5G EU.
Setelah diluluskan oleh Parlimen Eropah dan Majlis EU, Akta Keselamatan Siber itu akan berkuat kuasa serta-merta.
-- BERNAMA-ANADOLU
