AM

TEMPOH KELULUSAN PINJAMAN AGENSI KUSKOP DIPENDEKKAN

21/01/2026 05:42 PM

KINABATANGAN, 21 Jan (Bernama) -- Tempoh kelulusan permohonan pinjaman agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan dipendekkan kepada lima hari bekerja, kata Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata selain bagi mengurangkan karenah birokrasi, langkah itu penting untuk memastikan usahawan segera mendapatkan modal untuk meneruskan atau memulakan perniagaan.

Mohamad berkata antara agensi yang menawarkan pinjaman ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Kita dengar banyak aduan daripada usahawan yang pinjaman mereka lambat diluluskan. Kita mendengar rintihan ini, jadi kita (kementerian) bersetuju supaya dalam masa lima hari bekerja permohonan pinjaman mesti diluluskan tetapi dengan syarat dokumen semuanya mestilah lengkap.

“Kita wujudkan juga perkongsian data di peringkat KUSKOP supaya usahawan-usahawan ini tidak terbeban dengan pelbagai borang apabila membuat permohonan. Ini agar setiap kali mereka buat permohonan sudah ada data jadi tidak perlu berikan lagi dokumen atau data baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) di Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan di sini hari ini. 

Pada program itu, Mohamad turut menyampaikan cek cura kepada beberapa usahawan serta koperasi sebagai komitmen berterusan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan koperasi dan keusahawanan di negara ini.

Beliau berkata program JMKU juga akan diperluaskan ke semua daerah di Sabah pada tahun ini bagi meningkatkan jualan dan pendapatan golongan usahawan.

Mengenai penyaluran dana pembiayaan berjumlah RM11 juta kepada Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh (KOPEL) di sini, beliau berkata ia adalah untuk membolehkan koperasi berkenaan memperoleh aset dan memperbesarkan operasi perniagaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan