SAO PAULO (Brazil), 21 Jan (Bernama-Xinhua) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Selasa mengkritik Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kerana cuba “mentadbir dunia” melalui media sosial, lapor Xinhua.
“Adakah anda perasan yang Trump mahu mentadbir dunia melalui Twitter?” kata Lula pada satu acara awam di Rio Grande, sebuah perbandaran di negeri selatan Brazil, Rio Grande do Sul.
“Dia mengatakan sesuatu yang berbeza setiap hari. Ini tidak boleh diterima. Dan adakah anda fikir kita boleh melayan manusia dengan penuh hormat jika kita tidak memandang mereka secara bersemuka? Menganggap mereka sebagai objek dan bukannya sebagai manusia?” katanya.
Berucap pada majlis penyerahan 1,276 unit rumah di bawah satu program perumahan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di selatan Brazil, Lula merujuk kepada Trump sambil menekankan keperluan untuk “mengembalikan nilai kemanusiaan dalam hubungan sosial.”
Beliau turut menggesa orang ramai agar mengurangkan penggunaan telefon bimbit secara berlebihan serta mempertahankan dasar yang diperkenalkannya pada 2024 untuk mengharamkan penggunaan telefon bimbit di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.
Presiden Brazil itu setakat ini belum memberikan sebarang komen mengenai jemputan Trump untuk menyertai apa yang dipanggil “Lembaga Keamanan” bagi memantau perkembangan di Semenanjung Gaza.
Menutup ucapannya, Lula menggesa orang ramai agar kurang meluangkan masa di media sosial dan memberi keutamaan kepada hubungan peribadi mereka.
--BERNAMA-XINHUA
