EKONOMI

BNM KEKALKAN PARAS OPR PADA 2.75 PERATUS, EKONOMI 2026 DIJANGKA TERUS BERDAYA TAHAN

22/01/2026 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Dalam kenyataan BNM pasca mesyuarat itu, MPC juga berpendapat pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, BNM berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 dijangka sekitar paras atas julat unjuran dan berterusan pada 2026, disokong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan. 

 Aspek guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

Selain itu, kata bank pusat, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, peningkatan pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta pelan induk nasional yang terus dijalankan.

Di samping itu, sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk kepada ketidakpastian, khususnya yang berkaitan dengan perkembangan global.

“Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

Menurut BNM, potensi pertumbuhan yang pesat disumbangkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan lebih kukuh ke atas barangan E&E serta aktiviti pelancongan yang lebih giat.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing purata sebanyak 1.4 peratus dan 2 peratus pada 2025.

“Bagi 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda. Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, lantas menyumbang kepada keadaan kos dalam negara yang terkawal.

BNM berkata inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, sekali gus mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Di peringkat global, pertumbuhan pada 2025 lebih tinggi daripada jangkaan, terutamanya mencerminkan tarif lebih rendah daripada jangkaan, perbelanjaan lebih tinggi bagi teknologi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) dan sokongan fiskal yang lebih kukuh.

“Bagi 2026, meskipun kesan tarif boleh mempengaruhi pertumbuhan global, prospek pertumbuhan kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan dalam negara yang berterusan, inflasi yang makin berkurangan, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari,” katanya.

 Bank pusat itu bagaimanapun mengingatkan risiko pertumbuhan yang perlahan terus wujud berikutan kemungkinan tarif lebih tinggi, ketegangan geopolitik yang makin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global.

“Selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan,” katanya.

Sebaliknya, pertumbuhan berpotensi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, kata BNM.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan