JENAYAH & MAHKAMAH

RISIKO DI LAPANGAN CETUS INOVASI IPD MUALLIM HASIL PERISAI BSP

23/01/2026 10:11 AM

Oleh Nur Afiradina Arshad

TANJONG MALIM, 23 Jan (Bernama) -- Insiden anggota polis diserang suspek mabuk, kurang siuman dan bersenjata tajam ketika bertugas mencetus idea kepada pasukan Inovasi ‘T-Malim’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim untuk menghasilkan Body Shield Protector (BSP) bagi melindungi anggota di lapangan.

Inspektor Muhammad Azri Mohd Noah berkata pengalaman melihat rakan setugas terdedah kepada risiko menjadi titik tolak penciptaan BSP iaitu perisai khas untuk kegunaan khusus unit kereta peronda (MPV), memandangkan mereka merupakan pasukan yang menerima arahan awal dan ke lokasi kejadian. 

“Apabila tiba di lokasi, mereka yang akan berhadapan dengan suspek dengan ada antara mereka bersenjata tajam. Apa yang boleh dilakukan anggota ketika itu agak terhad selain kita tidak boleh menjangkakan situasi di tempat kejadian.

“Sekiranya situasi di luar kawalan, anggota perlu mengambil peralatan seperti perisai FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) yang panjang dan perkara itu mengambil masa sedangkan keadaan telah menjadi tidak terkawal,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Azri yang juga Ketua Balai Polis Behrang Stesen berkata perisai itu dihasilkan melalui kajian dalaman ‘T-Malim’ sejak 2022 selepas mendapati dalam kebanyakan kes melibatkan MPV, perisai sedia ada tidak sempat digunakan kerana sukar dibawa keluar dari tempat letak barang kenderaan.

Beliau berkata perkara itu terbukti melalui beberapa insiden anggota MPV dikejar suspek yang mengamuk atau kurang siuman serta bersenjata tajam yang tular di media sosial. 

“Inovasi ini mampu melindungi anggota MPV sehingga 90 peratus sekali gus memberi keyakinan kepada mereka semasa berada di lapangan selain dapat meningkatkan kredibiliti polis,” katanya yang menegaskan perisai itu bukan pengganti kepada perisai FRU tetapi sebagai alternatif kepada anggota terlibat.

Sementara itu, Inspektor Che Rosmasliza Che Abas yang kini bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata telah mengedarkan perisai itu kepada beberapa anggota MPV di beberapa daerah sekitar Perak sebagai percubaan pada peringkat awal penghasilannya.

Beliau berkata mereka menerima maklum balas amat positif sehingga mendorong kajian semula dan penambahbaikan alat berkenaan bagi memastikan reka bentuk fizikal yang lebih berkualiti, berpatutan dan mesra pengguna.

“Daripada situ, tercipta perisai BSP 2.0 yang lebih ringan, mudah dicapai dari tempat duduk pemandu dan direka khusus untuk tindak balas pantas MPV yang kemudiannya ditambah baik dengan lampu strob merah biru bagi mengganggu penglihatan suspek serta struktur lebih kukuh menggunakan bahan polikarbonat.

“Perisai BSP juga melepasi ujian keselamatan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),  tahan hentakan sehingga 170 joule, melepasi ujian asid hidroklorik dan sulfurik selama 48 jam serta memberi perlindungan terhadap senjata tajam dan tumpul,” katanya.

Pasukan ‘T-Malim’ merupakan wakil tunggal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam program realiti Innovathon Musim Ke-3 anjuran Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

‘T-Malim’ antara 56 kumpulan daripada lebih 2,000 penyertaan yang terpilih menyertai rancangan itu dan berjaya ke episod keempat sebelum menduduki tempat kelima pada penghujung pertandingan tersebut.

Kumpulan itu ditubuhkan pada 2016 dan dianggotai Sarjan Mohd Rizal Amir, Sarjan Mohamad Fazlin Jakiman, Koperal Mohd Razali Rohani, Koperal Nur Hazwani Jamaludin, Koperal M Chandra Kala serta pesara polis Abd Razak Abu.

Mereka telah mencipta lapan peralatan inovasi bagi kegunaan polis, khususnya IPD Muallim dengan Mohd Rizal berkata kesemua rekaan itu dikemukakan dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) PDRM setiap tahun.

“Ini selaras dengan agenda nasional diterapkan MADANI iaitu di bawah peranan daya cipta yang mahu penjawat awam menghasilkan inovasi yang mampu memperkukuh dan meningkatkan mutu perkhidmatan semasa menjalankan tugas,” katanya.

Mohd Rizal berharap inovasi itu dapat diguna pakai secara meluas dalam PDRM, sekali gus memastikan setiap anggota bertugas mempunyai perlindungan sewajarnya ketika berhadapan situasi bahaya.

Beliau berkata program seperti Innovathon juga membuka mata syarikat atau pelabur untuk menyokong inovasi yang dilakukan, terutamanya kepada mereka yang mengeluarkan kos pembangunan sendiri dan tanpa peruntukan khas. 

Mohd Rizal berkata selain perisai, mereka juga mempunyai papan putih yang ditambah baik kerana penggunaan barangan itu penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun sukar dibawa ke lokasi, terutamanya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata inovasi itu terbukti berkesan semasa kes pendaki Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di Gunung Liang yang memerlukan papan putih bagi memaparkan strategi operasi dan tindakan SAR ketika itu. 

“… dengan adanya Portable Disaster Unit, iaitu papan putih fleksibel yang lebih ringan membolehkannya dibawa dengan hanya menggunakan motosikal sekali gus memudahkan perjalanan anggota ketika itu,” katanya.    

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan