POLITIK

PRK KINABATANGAN, LAMAG: ELAK PAKAI, BAWA BARANG BERSIMBOL PARTI KE PUSAT MENGUNDI - SPR

23/01/2026 08:48 PM

KINABATANGAN, 23 Jan (Bernama) -- Semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diingatkan supaya tidak memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa barang yang mempunyai lambang serta simbol parti atau calon ke pusat mengundi, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengundi juga dilarang membawa apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

Beliau berkata kegagalan pengundi mematuhi atau melanggar peruntukan ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya dan peringatan sama juga terpakai kepada calon dan petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengundi juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit di saluran mengundi masing-masing, sebaliknya perlu meletakkan telefon bimbit ditempat disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Khairul Shahril berkata pengundi diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian dan perlu menunjukannya kepada kerani pengundian pertama (KP1), di tempat mengundi masing-masing.

Beliau berkata sebelum itu pengundi boleh membuat semakan awal maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, menghubungi talian SPR di 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPRSemak.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan selepas tempoh itu berakhir, semua pihak perlu menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

Ini termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan lain-lain.

“Semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Sebanyak 1,106 petugas akan mengendalikan proses pengundian esok yang melibatkan 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran.

Khairul Shahril berkata sebanyak 48,282 orang pengundi layak mengundi dalam PRK Parlimen  Kinabatangan dan PRK DUN Lamag, Sabah serta berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Beliau berkata sebanyak dua pusat mengundi akan ditutup pada 12 tengah hari esok manakala 34 pusat mengundi pula akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

“Di samping itu, penandaan dakwat kekal pada PRK ini akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri pengundi yang hadir mengundi nanti,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan) di DUN Lamag, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan