KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Kesibukan melaksanakan tugasan membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tidak menghalang petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, hari ini.
Pegawai Berita Bernama Biro Sabah Rohana Nasrah, 39, yang mula ‘berkampung’ di Kinabatangan sejak 7 Jan lepas, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam II, di sini.
Rohana berkata meskipun sibuk melaksanakan tugasan sempena PRK ini, namun beliau tetap cuba mencuri masa untuk menunaikan tanggungjawab selaku pengundi di Parlimen dan DUN berkenaan.
Beliau berkata ini pengalaman keduanya mengundi secara fizikal selepas kali pertama ketika membuat liputan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.
"Ini pengalaman paling bermakna buat saya kerana dapat mengundi secara fizikal. Walaupun sibuk sebagai wartawan memenuhi tuntutan tugasan liputan, namun tanggungjawab mengundi harus ditunaikan kerana ia penting dan akan menentukan masa depan lebih baik bagi kawasan ini.
“Satu undi amat bernilai untuk memilih wakil rakyat dan parti yang akan membawa aspirasi serta menentukan hala tuju pembangunan daerah pada masa hadapan," katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
