AM

KISAH KAK SIDAH DAN DEENASHA, KASIH SAYANG MELANGKAUI BUDAYA DAN AGAMA

26/01/2026 11:59 AM

IPOH, 25 Jan (Bernama) -- Sembilan tahun lepas Rosidah Yang Abdul Rani, pada awalnya berasa sangsi untuk menjadi pengasuh kepada anak asuhan dari bangsa lain kerana bimbang akan perbezaan budaya dan agama.

Namun, atas niat membantu S Amuthadewi, 47, yang begitu yakin menyerahkan anaknya N Deenasha Pillai yang ketika itu berusia enam bulan, untuk dijaga, Rosidah, 58, yang mesra disapa Kak Sidah mengakui perbezaan itu bukanlah satu halangan. 

Bermula 2012 hingga Deenasha berusia lima tahun, Rosidah mengasuh kanak-kanak itu dengan bayaran RM250 sebulan sementara Amuthadewi keluar bekerja.

“Deenasha yang kini berusia 14 tahun mengganggap saya sebagai ibu keduanya, malah saya juga menggangapnya sebagai anak sendiri kerana telah menjaganya sejak kecil,” katanya kepada Bernama.

Mengimbas perkenalannya dengan Amuthadewi sekitar 2012, Rosida berkata wanita berkenaan bertanyakan mengenai perkhidmatan mengasuh anak yang memang dilakukannya untuk menambah pendapatan keluarga ketika itu.

“Sewaktu Dewi (ibu Deenasha) bertanyakan tentang penjagaan anaknya, saya tidak berfikir panjang pun dan terus terima mungkin pada ketika itu hati dah terdetik untuk membantu tanpa memikirkan sebab atau akibat lain.

“Selepas itu, saya maklumkan boleh hantar setiap hari kecuali hari minggu. Bagi saya, pada masa itu tiada rasa perbezaan bangsa langsung dan tidak menjadi pertimbangan utama kerana niat membantu Dewi lebih diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Amuthadewi berkata dia meletakkan kepercayaan, keikhlasan serta nilai kebersamaan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama semasa memberikan anaknya kepada Rosidah selepas mula bekerja pada 2012.

“Selepas enam bulan melahirkan Deenasha, saya mula bekerja serta memerlukan pengasuh untuk menjaga anak saya. Ketika itulah saya mencari pengasuh di sekitar kawasan tempat tinggal dan menemui jalan buntu sebelum seorang jiran mencadangkan Kak Sidah.

“Ketika itu Kak Sidah sudah menjaga beberapa orang kanak-kanak dan sewaktu bertemunya dan bertanya adakah dia mahu menjaga anak saya, tanpa berfikir panjang sama ada anak saya ini berbangsa lain, macam mana nak uruskan nanti… Kak Sidah terus terima dengan bayaran hanya RM250 sebulan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang menjaga Deenasha, Rosidah bukan hanya menjaga, malah menitikberatkan kebajikan, keselamatan dan sensitiviti agama anaknya itu dengan penuh teliti.

“Kalau demam atau tak mahu makan, dia akan terus telefon, serta sanggup guna duit sendiri untuk beli ubat. Sepanjang di bawah jagaan Kak Sidah saya tidak pernah rasa gelisah apabila meninggalkan anak untuk bekerja,” katanya yang turut memaklumkan sejak tinggal di situ anaknya sangat meminati sambal belacan yang dibuat pengasuh itu.

Amuthadewi turut berkongsi hubungan mereka menjadi lebih rapat ketika dia melalui fasa sukar dalam hidup, termasuk perceraian pada 2016 dan ketika itu Rosidah menjadi sumber kekuatan emosi kepadanya.

“Waktu saya ulang-alik ke balai polis dan mahkamah, dia tak pernah merungut walaupun saya ambil lewat malah dia sentiasa beri semangat kepada saya,” katanya yang terpaksa berpindah ke Selangor selepas memperoleh peluang pekerjaan lain.

Baru-baru ini selepas sembilan tahun berlalu, Amuthadewi dan Deenasha mengunjungi semula Rosidah di kediamannya, dengan pertemuan itu berlangsung dalam suasana terharu tetapi penuh kegembiraan.

“Bila jumpa semula, anak saya terus menitiskan air mata dan paling penting walaupun hampir sembilan tahun berpisah, Deenasha masih ingat ‘ibu’ yang menjaganya dahulu dan pada masa sama Kak Sidah juga tidak menyangka jasa dan kasih sayangnya masih diingati anak saya,” kata Amuthadewi.

Bagi Rosidah, dia tidak menyangka Deenasha masih mengingatinya, sehingga sanggup datang dari Selangor bersama ibunya beberapa kali, walaupun sebelum ini tidak berjaya bertemu dengannya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan