KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 akan memperkukuh tadbir urus institusi pendidikan tinggi (IPT) melalui pendekatan lebih berakauntabiliti, telus dan berfokuskan impak, bagi memastikan pelaksanaan dasar itu benar-benar memberikan manfaat kepada pelajar dan pihak berkepentingan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata walaupun kebanyakan universiti mempunyai autonomi masing-masing, pemantauan berterusan tetap diperlukan supaya setiap inisiatif di bawah RPTM itu diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan pada peringkat institusi.
“Autonomi universiti perlu disertai dengan akauntabiliti. Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan memainkan peranan memantau, mengadakan libat urus serta memastikan pelaksanaan RPTM difahami dan dilaksanakan secara konsisten di semua IPT.
"Tidak kiralah universiti awam mahupun swasta perlu bersama-sama dalam memacu perubahan ini. Banyak perkara telah dibincangkan sebelum RPTM dilancarkan. Pelan tindakan telah pun bermula, jadi kami sangat positif dan proaktif dalam memastikan agar perubahan yang kita buat ini dapat dirasai dan dilihat oleh masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk "RPTM 2026-2035: Memacu Lonjakan Pendidikan Tinggi Negara" terbitan Bernama TV hari ini.
Azlinda berkata penyediaan RPTM melibatkan penilaian menyeluruh terhadap sistem sedia ada sebelum menggariskan 10 lonjakan strategik yang merangkumi 41 strategi dan 128 inisiatif, dengan penekanan awal diberikan kepada tempoh tiga tahun pertama (2026–2028).
"Pendekatan kurikulum (fokus awal) ini akan terus diperkasakan bersama-sama industri bagi melahirkan graduan holistik, bersedia untuk masa depan dan berkeupayaan tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata pendekatan berasaskan hasil menjadi teras utama RPTM, khususnya dalam meningkatkan kualiti graduan, kebolehpasaran dan daya saing mereka dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Bagi memastikan pelaksanaan RPTM tidak sekadar indah di atas kertas, Azlinda berkata pemantauan pelaksanaan RPTM akan dibuat secara berkala dengan indikator yang boleh diukur bagi menilai keberkesanan dasar itu termasuk dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan.
Beliau berkata antara pembaharuan penting dalam RPTM ialah pengukuhan kerjasama universiti-universiti bagi memastikan kurikulum sentiasa selari dengan keperluan semasa, selain pendedahan awal pelajar kepada dunia pekerjaan melalui latihan industri, pembelajaran berasaskan industri dan konsep teaching factory di kampus.
"Sebenarnya, pelbagai kerjasama dari segi kurikulum bersama dengan industri telah pun kita laksanakan, begitu juga kita telah ada teaching factory di dalam kampus … industri telah membuka 'kilang mini' dan melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar menjalankan latihan hands on, khususnya universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)," katanya.
Dalam usaha menjadikan pendidikan tinggi lebih inklusif dan fleksibel, Azlinda berkata RPTM turut memperkenalkan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat melalui model pembelajaran modular, pemindahan kredit antara universiti dengan industri serta pengembangan pensijilan mikro.
“Pendidikan tinggi tidak lagi terikat kepada satu laluan tradisional. Pelajar boleh belajar mengikut keperluan, masa dan minat masing-masing, sama ada untuk mendapatkan sijil mikro, diploma atau ijazah,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu mampu menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diakses kepada semua lapisan masyarakat dan peringkat umur, selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
Dalam aspek pengantarabangsaan, Azlinda berkata RPTM 2026–2035 turut memberikan penekanan kepada pengukuhan kedudukan universiti tempatan pada peringkat global, bukan semata-mata melalui penarafan, tetapi sebagai pengiktirafan kualiti pendidikan dan penyelidikan negara.
“Pencapaian universiti tempatan pada peringkat antarabangsa merupakan tarikan utama kepada pelajar luar negara dan membuktikan keupayaan sistem pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan RPTM sebagai cerminan komitmen kerajaan dalam menjadikan pendidikan tinggi pemacu utama kemajuan negara, mobiliti sosial dan kemakmuran bersama, dengan sokongan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.
-- BERNAMA
