KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,131 program advokasi keganasan rumah tangga dilaksanakan sepanjang tahun lepas melibatkan 154,241 peserta di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata program itu termasuk penganjuran Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) yang disambut pada setiap 25 Nov.
Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited dalam menangani kes keganasan rumah tangga menerusi pendekatan menyeluruh dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan lapisan masyarakat.
“Kempen EVAW turut dilaksanakan di peringkat negeri melalui inisiatif Santuni Kasih@KRT, sebagai usaha menyeluruh meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu ini.
“Pada 2025, sebanyak 126 program telah dilaksanakan dengan penyertaan lebih 80,000 peserta di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai perancangan kerajaan dalam melaksanakan kempen kesedaran antikeganasan rumah tangga, susulan kajian mendapati 53.35 peratus rakyat Malaysia menganggap keganasan rumah tangga sebagai reaksi normal terhadap tekanan harian.
Nancy berkata KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menyediakan pelbagai program termasuk penyediaan perkhidmatan kaunseling dan pelaksanaan program psikopendidikan.
Antara program tersebut ialah Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT), Program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (Matahari) dan Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS).
Katanya JPW turut menubuhkan Skuad Waja yang dianggotai sukarelawan di peringkat komuniti untuk memperkasakan masyarakat dengan bimbingan psikososial dan aktiviti meningkatkan kesedaran mengenai jenayah serta keganasan terhadap wanita.
Menjawab soalan tambahan mengenai kerjasama antara agensi, Nancy berkata Jawatankuasa Kerja Advokasi dan Pembangunan Kapasiti (JKAPK) di bawah Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT) berperanan menyelaras maklumat dan statistik kes keganasan rumah tangga serta menghubungkan agensi berkaitan.
Katanya bagi menangani kitaran pascatrauma susulan keganasan rumah tangga, kementerian itu melaksanakan pendekatan menyeluruh termasuk mengadakan program advokasi di institusi dan sekolah yang sehingga kini telah mencapai sasaran pelaksanaan di lebih 300 sekolah setahun.
-- BERNAMA
