AM

SULTAN TERENGGANU BERKENAN KURNIA HADIAH PEMENANG ECIPIT

27/01/2026 04:01 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Jan (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Anugerah EkoCeria Institusi Pendidikan Islam (IPI) Terengganu (ECIPIT)  Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2025, hari ini. 

Turut berkenan berangkat pada upacara berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini, ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir pada program tersebut.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan melibatkan Keceriaan, Keselamatan, Kesihatan dan Kebersihan, dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM30,000.

Pada majlis itu, Pusat Tahfiz Tarbiyyah Raudhatul Hijrah di Kemaman diumumkan sebagai johan keseluruhan, diikuti Sekolah Rendah Islam Al-Amin di Kuala Nerus di tempat kedua dan Pusat Tarbiah Nurul Iman Kampung Raja di Besut pada kedudukan ketiga.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Datuk Mohd Fadli Yusof berkata ECIPIT yang diadakan buat julung kali bertujuan mewujudkan suatu sistem pembelajaran dan pengajaran (P&P) berteraskan kemampanan, keterangkuman, kondusif, komprehensif, selamat dan berinovasi dalam kalangan IPI di Terengganu.

Ia selaras dengan tuntutan Islam dan menjadi pelopor kepada konsep pendekatan kelestarian Islam yang meletakkan asas kelestarian dalam semua sudut kehidupan.

"Menjadi hasrat dan harapan YDSM agar semua IPI di Terengganu mempunyai tahap keselamatan, kesihatan, kebersihan, keceriaan dan berinovasi selaras dengan tuntutan agama Islam.

"Insya-Allah ECIPIT akan dianjurkan secara dwitahunan selepas ini. Untuk menjayakan penganjuran kali ini, YDSM membelanjakan sebanyak RM150,000," katanya.

Beliau berkata penganjuran ECIPIT diyakini dapat menjadi platform penting untuk menilai serta mengiktiraf usaha institusi pendidikan yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek persekitaran sistematik.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan