KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kempen pemain skuasy negara S. Sivasangari, di Tournament of Champions (ToC) 2026 berakhir selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia Olivia Weaver dari Amerika Syarikat, pada suku akhir di New York, Selasa.
Sivasangari yang memberikan tentangan hebat tetapi akhirnya tewas 5-11, 8-11, 11-5, 8-11 kepada Weaver, yang mengawal rentak permainan dengan konsisten sepanjang perlawanan.
Pemain berusia 27 tahun itu bangkit pada set ketiga, namun Weaver kembali menguasai permainan untuk menamatkan perlawanan selepas empat set.
Kekalahan itu menamatkan cabaran Sivasangari dalam kejohanan peringkat platinum itu selepas berjaya mara ke peringkat suku akhir.
Aksi kali ini juga adalah penampilan pertama Sivasangari pada peringkat suku akhir kejohanan berkenaan, selepas tersingkir pada pusingan awal pada edisi tahun lepas.
-- BERNAMA
