GEORGE TOWN, 28 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melaksanakan beberapa inisiatif berkenaan sisa makanan dan organik sebagai komitmen berterusan terhadap pengurusan sisa yang lestari sempena sambutan Thaipusam 1 Feb ini.
Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata berdasarkan data sebelum ini, sebanyak 100 tan sisa pepejal dijana dalam tempoh perayaan itu dengan 20 hingga 30 tan daripadanya adalah sisa makanan.
"Thaipusam antara perayaan keagamaan terbesar yang diraikan setiap tahun di Pulau Pinang dan walaupun ia amat bermakna dari segi budaya dan keagamaan, jumlah sisa yang tinggi dijana dalam tempoh masa singkat.
"Berikutan itu, MBPP melaksanakan beberapa inisiatif berkenaan sisa makanan, iaitu pemprosesan sisa makanan di Jalan Utama, pelencongan sisa kelapa sebagai bahan bakar alternatif (green fuel) dan sisa susu untuk dirawat menggunakan pencerna anaerob (AD)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rajendran berkata bagi pemprosesan sisa makanan, MBPP akan melaksanakan projek perintis menggunakan mesin pengasingan sisa makanan dan menyeru kepada semua "panthal" atau gerai berhias yang menyediakan makanan untuk orang ramai memastikan sisa makanan dibuang dalam tong yang berlabel sisa makanan sahaja.
Rajendran berkata tong-tong hijau itu yang disediakan sepanjang Thaipusam akan dikutip oleh wira kuning, iaitu pekerja MBPP dan dibawa ke Jalan Utama untuk diproses menggunakan mesin berkenaan yang memproses serta mengasingkan sisa makanan kepada air, minyak terpakai dan sisa makanan yang kering.
Beliau berkata proses itu dijangka dapat mengurangkan sebanyak 50 hingga 60 peratus sisa makanan yang dijana dan sisa makanan yang kering akan diproses menjadi kompos, sekali gus mendukung dasar ekonomi kitaran.
"Sisa kelapa yang selama ini dilupuskan di tapak pelupusan akan digunakan sebagai bahan bakar alternatif dan dianggar 30 hingga 40 tan sisa kelapa dipesongkan (daripada tapak pelupusan)," katanya.
Beliau berkata inisiatif terakhir adalah sisa susu dan pihaknya telah memaklumkan kepada Lembaga Wakaf Hindu bahawa sisa susu yang dijana sepanjang perayaan Thaipusam perlulah dihantar ke Ampang Jajar agar boleh diproses menggunakan AD untuk menjana tenaga hijau.
Sementara itu, katanya MBPP akan menempatkan sembilan pegawai penguat kuasa bagi melaksanakan pemantauan bermula 31 Jan hingga 3 Feb nanti dan menyediakan 27 tong sampah tambahan di lokasi tumpuan sekitar laluan perarakan dan kawasan kuil sempena sambutan perayaan Thaipusam.
Beliau berkata pendekatan penguatkuasaan secara pendidikan akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan sepanjang perayaan berlangsung.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat individu yang sengaja tidak mematuhi peraturan dan membuang sampah, tindakan kompaun boleh dikenakan antara RM250 hingga RM500 di bawah Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.
-- BERNAMA
