AM

KERAJAAN LAKSANA PROJEK RINTIS PERKASA KEMAHIRAN BAHASA GENERASI MUDA DI PUTRAJAYA

29/01/2026 12:35 PM

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan projek rintis bagi memperkasakan  kemahiran bahasa dalam kalangan generasi muda, selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan generasi muda yang menguasai pelbagai bahasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif itu, antara lain bertujuan mewujudkan lebih banyak ruang aktiviti hujung minggu untuk generasi muda yang membesar di Putrajaya, khususnya bagi menyokong pembelajaran bahasa melalui aktiviti praktikal dan santai.

“Kita nak menyahut cabaran yang telah diberikan oleh Perdana Menteri yang mahu generasi muda fasih bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil atau Arab. 

“Tetapi bahasa ini, perlukan peluang untuk praktis. Kalau mereka tak dapat praktis, belajar atas kertas sahaja tak akan berjaya. Jadi kita nak wujudkan banyak lagi ruang aktiviti hujung minggu untuk generasi muda yang membesar di Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2026, di sini hari ini.

Hannah berkata bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya sedang merangka pelaksanaan kelas percuma yang memberikan peluang kepada generasi muda untuk belajar atau berlatih secara terbuka, memandangkan amalan dan pendedahan berterusan amat penting bagi memastikan penguasaan bahasa dapat diperkukuh.

“Ini sedang kita bincangkan sekarang (termasuk) kelas (bahasa) percuma. Kelas percuma ini, siapa yang nak datang boleh datang belajar atau ruang untuk mereka praktis,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan penglibatan guru bersara yang mahir berbahasa untuk menyumbang secara sukarela, dengan sesi pengajaran fleksibel selama satu hingga dua jam bagi membantu generasi muda mempraktikkan kemahiran bahasa secara konsisten.

“Inisiatif ini merupakan projek rintis untuk melihat bagaimana kita boleh membantu warga Putrajaya menyahut cabaran Perdana Menteri untuk menguasai pelbagai bahasa,” katanya sambil menegaskan butiran lanjut hanya akan diumumkan selepas perbincangan dimuktamadkan.

Beliau berkata pihaknya turut merancang penganjuran kelas sukan percuma seperti senamrobik dan lompat tali di beberapa lokasi terpilih di Putrajaya sebagai usaha menangani kadar obesiti yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Hannah berkata lokasi pelaksanaan akan dipilih sebagai projek perintis sebelum diperluas, dengan fokus terhadap kesejahteraan keluarga dan keperluan komuniti setempat, khususnya penjawat awam yang berdepan cabaran meluangkan masa bersama anak-anak.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri berkata keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa merupakan aset penting dalam menghadapi cabaran global dan meningkatkan daya saing generasi muda, tanpa menjejaskan asas identiti nasional.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan