BANGI, 29 Jan (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi tumpuan untuk meningkatkan kemasukan klien secara sukarela tahun ini bagi menangani isu penagihan dan penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata perkara itu selaras dengan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang membolehkan rawatan dan pemulihan diakses terus tanpa pengesahan awal pegawai perubatan.
Beliau berkata kempen kemasukan sukarela akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan temu seru, lawatan ke rumah dan publisiti meluas oleh semua peringkat AADK hingga ke akar umbi.
“Kami ingin promosikan rawatan secara sukarela, iaitu mereka (klien) datang terus kepada AADK untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan tanpa perlu melalui proses mahkamah,” katanya selepas menyampaikan amanat 2026 dan Perhimpunan Bulanan Januari AADK di sini hari ini.
Ruslin berkata pihaknya memperkenalkan Perkhidmatan Mobilisasi Rawatan Perubatan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT) AADK iaitu penggunaan bas khas yang dilengkapi bilik konsultasi untuk klien hadir di lokasi ditetapkan di seluruh negara.
“Menerusi MRT, pegawai akan membuat penilaian tahap keterlibatan dadah dan menawarkan pakej rawatan antara tiga bulan hingga dua tahun bergantung kepada tahap keseriusan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata AADK akan memperkukuh kempen kesedaran melalui media sosial bagi menggalakkan lebih banyak individu mendapatkan rawatan.
“Kami mahu masyarakat faham dadah adalah isu kesihatan dan individu terlibat perlu dibantu, bukan dipinggirkan,” katanya.
Terdahulu, Ruslin dalam ucapannya turut memberi penekanan terhadap agenda Dadah Terkawal 2030 yang juga sasaran strategik nasional bagi memastikan isu penyalahgunaan dan penagihan dadah berada pada tahap terkawal menjelang 2030.
“Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan, kadar penagihan disasarkan tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk, selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara,” katanya.
-- BERNAMA
