AM

JPPKK PERKUKUH TVET NEGARA MENERUSI PROJEK POLYCC BERNILAI HAMPIR RM432 JUTA

29/01/2026 02:43 PM

JASIN, 29 Jan (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menonjolkan keupayaan strategik dalam pembangunan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi projek pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bernilai hampir RM432 juta tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Ulaimi Yahya berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan JPPKK dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dirancang, dilaksana dan dipantau dengan penuh integriti serta memberi pulangan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga POLYCC, sokongan berterusan KPT dan kerjasama rakan strategik pelaksana.

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pembelajaran TVET, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang menjadi agenda utama negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti (APPOLYCC) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata dalam landskap pendidikan TVET yang semakin mencabar, POLYCC telah menunjukkan keupayaan yang semakin matang dalam menguruskan perancangan dan pembangunan institusi secara strategik.

Sepanjang pelaksanaan projek pembangunan, peningkatan ketara dicatat dari segi kualiti perancangan, kecekapan pelaksanaan fizikal, pematuhan tadbir urus serta kesesuaian projek dengan keperluan industri dan komuniti setempat.

Ulaimi berkata projek pembangunan yang diluluskan melibatkan JPPKK sebagai agensi pelaksana, mengurus lebih RM186 juta merangkumi 60 projek di 48 politeknik dan 12 projek di kolej komuniti di seluruh negara.

“Prestasi pelaksanaan diterjemahkan melalui perbelanjaan pembangunan melebihi RM322 juta, bersamaan 98.38 peratus daripada peruntukan yang dipinda hingga pertengahan Disember 2025,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pasukan pelaksana projek atas kerjasama strategik, kepakaran teknikal dan profesionalisme yang memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi, tempoh dan kualiti ditetapkan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan