KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Gandingan Syabil Azam Syamsul Azam-Ho Choon Seong dipilih sebagai Olahragawan Anugerah Sukan Pekak 2025 di sini hari ini.
Syabil Azam-Choon Seong menerima pengiktirafan berkenaan susulan kejayaan cemerlang membawa pulang emas acara doubles tenpin boling pada temasya Sukan Deaflympics Tokyo 2025 November lepas.
Syabil Azam menyifatkan anugerah diterimanya sebagai detik bermakna sepanjang menceburkan diri dalam sukan boling.
"Buat kali pertama saya diangkat sebagai olahragawan sukan pekak negara dan ini memberi makna dalam kehidupan kerana dapat membanggakan kedua ibu bapa saya," katanya kepada pemberita selepas anugerah itu.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MsDeaf) Ong Shin Ruenn.
Mengulas perancangan seterusnya, Choon Seong berkata mereka akan terus memperbaiki prestasi berdepan beberapa kejohanan termasuk saingan Asia Pasifik di Pulau Pinang tidak lama lagi.
Dalam pada itu, pencapaian membawa pulang pingat perak doubles wanita dari Deaflympics Tokyo 2025 membawa tuah buat gandingan Huwainaa Danduan Abdullah-Nor Misha Nathera Mackery yang dinamakan sebagai Olahragawati Anugerah Sukan Pekak 2025.
Huwainaa berharap penganugerahan diterima dapat membakar semangat melonjakkan prestasi, sekali gus memburu lebih banyak kejayaan dalam usaha mengharumkan nama negara pada masa depan.
Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang kini memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) serta Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Negeri Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah turut diikitraf dengan menerima Anugerah Khas.
-- BERNAMA
