DUNIA

PBB: LEBIH 88,000 PENDUDUK HILANG TEMPAT TINGGAL DI KORDOFAN, SUDAN​​​​​​​ 

29/01/2026 05:25 PM

HAMILTON, 29 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran bahawa pertempuran di wilayah Kordofan, Sudan menyebabkan lebih 88,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam beberapa bulan kebelakangan ini ketika akses kemanusiaan kekal sangat terhad manakala orang awam berdepan keadaan yang semakin buruk, lapor Anadolu Ajansi.

“Keadaan di Dilling, bandar kedua terbesar di negeri Kordofan Selatan kekal sangat tidak menentu. Rakan kemanusiaan kami memaklumkan bahawa laluan akses masih terputus, dan pengasingan bandar itu yang berlarutan telah mendorong keadaan ke tahap krisis,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam sidang media.

Dujarric berkata operasi kemanusiaan kekal terhad, sambil memaklumkan bahawa “hanya sebilangan kecil pertubuhan bukan kerajaan” beroperasi “di bawah kekangan yang teruk”.

Menurut rakan kongsi PBB, “separuh daripada orang awam di Dilling melarikan diri tahun lalu, manakala mereka yang masih tinggal berdepan kekurangan kritikal makanan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas lain”.

Di seluruh Kordofan, beliau berkata Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) “menganggarkan lebih 88,000 orang kehilangan tempat tinggal antara akhir Oktober hingga pertengahan Januari akibat konflik”.

Mengenai Darfur, Dujarric berkata di negeri Darfur Utara, “orang awam dilaporkan maut dan cedera akibat serangan dron pada Isnin”, dengan mata pencarian musnah dan kemudahan kesihatan yang sedia rapuh turut terjejas.

Beliau berkata keluarga yang melarikan diri dari El Fasher terus tiba di Tawila dan menegaskan bahawa “mereka memerlukan makanan, tempat perlindungan, air, sanitasi, kebersihan dan sokongan pemakanan.”

Dujarric menggesa pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Sudan “segera meredakan keganasan dan terlibat dalam dialog ke arah gencatan senjata serta-merta”, selain menyeru penderma “mengekalkan dan meningkatkan pembiayaan operasi kami bagi memastikan bantuan kritikal sampai kepada semua yang memerlukan”.

Pihak berkuasa Sudan dan kumpulan hak asasi serantau sebelum ini menuduh Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) dan sekutunya, Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N), melakukan pelanggaran terhadap orang awam.

Pertempuran semakin sengit sejak beberapa minggu kebelakangan ini di ketiga-tiga negeri Kordofan, memaksa puluhan ribu orang awam meninggalkan kediaman mereka.

Daripada 18 negeri di Sudan, RSF menguasai kesemua lima negeri di wilayah barat Darfur kecuali sebahagian Darfur Utara yang masih di bawah kawalan tentera, manakala tentera menguasai kebanyakan kawasan di baki 13 negeri di selatan, utara, timur dan tengah negara itu, termasuk ibu negara, Khartoum.

Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang bermula pada April 2023 telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

TAG: PBB, Sudan, RSF


NAMBS CL MZA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan