AM

TIKET TREN KHAS EDISI RAMADAN, AIDILFITRI DIJUAL MULAI ESOK - KTMB

29/01/2026 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan Perkhidmatan Tren Khas Excursion Railway to See Malaysia (RTSM) edisi Ramadan 2026 bagi laluan KL Sentral–Tumpat–KL Sentral serta perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) untuk laluan Pantai Timur dan Utara bagi tahun ini.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan tiket perkhidmatan itu akan dijual bermula pada 12 tengah hari esok bagi membantu orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung lebih awal dan selesa sepanjang bulan Ramadan, sekali gus memudahkan persiapan menyambut Aidilfitri.

“Perkhidmatan khas ini (Edisi Ramadan) akan beroperasi selama empat hari, iaitu pada 20 Feb dan 6 Mac bagi laluan KL Sentral–Tumpat serta 22 Feb dan 8 Mac bagi laluan Tumpat–KL Sentral. Sebanyak 1,584 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur bagi perkhidmatan ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bagi perkhidmatan ELA di laluan Pantai Timur, tren akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral–Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat–KL Sentral dengan 792 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan berkenaan menawarkan koc tempat tidur superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior bagi memberikan pilihan perjalanan lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang.

Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM80 bagi Kelas Superior, manakala tambang bagi tempat tidur Kelas Superior ialah RM90 (katil atas) dan RM95 (katil bawah), serta RM95 bagi Kelas Premier.

Tren Khas Excursion RTSM edisi Ramadan dan ELA edisi Pantai Timur itu akan berhenti di 17 stesen, iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Sementara itu, perkhidmatan ELA edisi Utara pula yang melibatkan laluan KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral akan beroperasi dengan empat perkhidmatan melibatkan 1,200 tiket ditawarkan bagi koc tempat duduk Kelas Superior dengan kadar tambang RM70 sehala.

Tren khas ini akan beroperasi pada 17 dan 22 Mac bagi laluan KL Sentral–Padang Besar serta 18 dan 23 Mac bagi laluan Padang Besar–KL Sentral.

Tren itu akan berhenti di 12 stesen, iaitu KL Sentral, Sungai Buloh, Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri dalam kenyataan sama berkata penyediaan tren khas bersempena dengan musim perayaan adalah sebahagian daripada komitmen KTMB dalam menyokong mobiliti negara.

“Dengan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan rel, kita dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan memastikan pergerakan balik kampung lebih efisien dan selamat,” katanya.

KTMB menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan tiket boleh dibeli secara tanpa tunai melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, kaunter tiket dan laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-97791200, atau melayari saluran media rasmi untuk pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan