JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITEMUKAN LEMAS SELEPAS TERJATUH KE DALAM SUNGAI SEMASA MEMANCING

30/01/2026 12:43 PM

KOTA BHARU, 30 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan lemas semalam selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Chani berdekatan jambatan Kuala Krai semasa memancing pada Rabu lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata Ahmad Amirul Zawawi, 23, ditemukan pada 11.14 malam oleh orang awam kira-kira 100 meter dari lokasi dia terjatuh.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat bermula selepas mereka menerima panggilan kecemasan pada 9.26 malam Rabu melibatkan pencarian di permukaan air menggunakan perahu penduduk kampung sebelum mendapat bantuan Pasukan Penyelamat di Air Machang, Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor.

“Hari kedua operasi bermula pada 9 pagi dan diperluas sejauh 800 meter dari lokasi kejadian sebelum komander operasi memaklumkan mayat mangsa ditemukan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan