IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Yayasan EMKAY menyalurkan sumbangan pakaian seragam sekolah kepada 550 pelajar di dua sekolah Orang Asli dalam memperkasakan pendidikan komuniti itu di kawasan Belum–Temenggor, dekat Gerik baru-baru ini.
Dua sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang, Royal Belum dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Banun.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan EMKAY Rahmat Ismail berkata pihaknya mahu melihat murid serta pelajar dari Belum–Temenggor itu bukan sahaja berpakaian kemas ke sekolah, tetapi juga mampu bersaing dalam bidang akademik mahupun kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Hasrat kami ialah melahirkan lebih ramai graduan Orang Asli yang berjaya," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Yayasan EMKAY.
Program tahunan yang bermula sejak 2017 itu mendapat sokongan padu rakan korporat seperti EMKAY Group dan Steelcase Office Solutions Sdn Bhd, bagi memastikan pelajar daripada suku kaum Jahai dan Temiar mendapat akses pendidikan yang lebih baik pada sesi persekolahan 2026.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 bertemakan 25 Years of Together We Care!, Yayasan EMKAY turut memperkenalkan elemen pembelajaran moden menerusi aplikasi Pandai untuk pelajar tingkatan empat dan lima di SMK RPS Banun yang sangat signifikan bagi persediaan 30 calon Sijil Pelajaran Malaysia pertama di sekolah berkenaan.
Pada masa sama, Yayasan EMKAY memaklumkan inisiatif itu juga selari dengan inspirasi kejayaan Muhammad Akmal Ila Ahmad, ikon Orang Asli suku kaum Semai yang kini memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Yayasan EMKAY berharap bantuan seperti ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kisah kejayaan serupa pada masa hadapan.
“Selain pendidikan, aspek kesihatan pelajar turut diberi perhatian melalui sumbangan 550 Kit Kebersihan Diri buat para pelajar di kedua-dua sekolah tersebut,” menurut kenyataan itu.
Majlis penyerahan berkenaan turut dihadiri wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak, wakil Watsons serta barisan sukarelawan dari Pulau Banding Foundation dan Belum Rainforest Resort.
-- BERNAMA
