Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang rendah Sri Lanka dan syarikat penerbangan antarabangsa milik persendirian pertama, FitsAir merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan mingguannya ke Malaysia kepada empat kali seminggu daripada tiga kali seminggu menjelang akhir Mac tahun ini.
Ketua Pegawai Komersial Fits Aviation (Pte) Ltd, Mohamed Najath Suruba memberitahu Bernama bahawa syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk meningkatkan penerbangan harian menjelang akhir Oktober dengan rancangan untuk mengendalikan perkhidmatan dua kali sehari menjelang tahun depan, sekali gus menggariskan komitmen jangka panjang syarikat penerbangan itu terhadap pasaran di Malaysia.
“Ketika ini, kami mempunyai empat destinasi - Dubai, Malé, Dhaka dan Kuala Lumpur dan pada musim panas ini kami akan meningkatkannya kepada lapan destinasi. Destinasi baharu ialah Bangkok, Lahore, Ahmedabad dan Delhi,” katanya.
Beliau berkata syarikat penerbangan itu yang memasuki pasaran Malaysia pada April 2025, menyasarkan faktor muatan 85 peratus hingga 90 peratus selepas berjaya meningkatkannya daripada 60 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh sembilan bulan selepas memulakan operasi di Malaysia.
“Kami telah mengubah faktor muatan daripada 60 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh sembilan bulan. Saya yakin ia akan meningkat dengan mudah sebanyak 85 peratus kepada 90 peratus.
“Apabila kami mencapai 85 peratus, kami ingin meningkatkan kekerapan,” katanya.
Mohamed berkata FitsAir optimis untuk mencapai faktor muatan melebihi 85 peratus sebaik sahaja penerbangan disambungkan ke Lahore dengan menyatakan jurang yang ketara dalam ketersambungan udara antara Pakistan dan Malaysia.
“Kami amat percaya bahawa melalui Colombo, kami boleh menghubungkan mereka (penumpang) dari Malaysia ke Pakistan.
“Justeru, destinasi baharu kami akan bermula dari Lahore pada akhir Mac dan kami akan membuka jualan (penerbangan itu) pada minggu pertama Februari,” katanya.
Mohamed berkata FitsAir juga menyasarkan untuk menghubungkan penumpang dari Malaysia ke Jeddah, Arab Saudi dan kini sedang mengusahakan rancangan itu.
“Kami hanya mempunyai enam hingga sembilan bulan lagi untuk projek itu kerana kami cuba menghubungkan (penumpang) dari Malaysia ke Jeddah melalui sambungan di Colombo.
“Ini akan memberi banyak peluang kepada penumpang Malaysia (untuk jemaah haji atau umrah) dan negara-negara Islam lain seperti Indonesia untuk pergi ke Jeddah melalui Colombo,” katanya.
FitsAir kini mengendalikan tiga pesawat A320 dikuasakan oleh enjin IAE V2500 dengan kapasiti tempat duduk antara 164 hingga 180.
Di Malaysia, NZ World Tours and Travels Sdn Bhd, melalui laman webnya mynztrip.com, ia adalah ejen jualan FitsAir.
Pengurus Perikatan Strategik mynztrip.com, Mohamad Naszari Abu berkata kerjasama dengan FitsAir bertujuan untuk meluaskan jangkauannya ke lebih banyak destinasi luar negara, pada masa sama memperkenalkan platform mynztrip.com.
“Untuk Visit Malaysia 2026, Sri Lanka dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah pasaran sasaran kami. Kami juga telah membuat perancangan untuk perjalanan masuk ke Malaysia dengan memperkenalkan destinasi di luar Kuala Lumpur termasuk Langkawi dan Borneo.
“Kami menyasarkan untuk mengendalikan lebih 50,000 penumpang tahun ini melalui pelbagai promosi, termasuk mempromosikan pulau-pulau di Malaysia serta memperkenalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan untuk Colombo dan Asia Barat, termasuk UAE,” katanya.
Sementara itu, jualan dan pemasaran mynztrip.com (Malaysia) Arif Aizuddin berkata mynztrip.com ialah platform penyelesaian perjalanan “semua-dalam-satu” yang menyediakan kemudahan untuk semua ejen membeli daripada agensi dan menjualnya di luar serta untuk semua pelanggan yang gemar menggunakan portalnya.
“Kami menjangkakan pengembangan yang lebih luas kerana kami mempunyai 11 pejabat di seluruh dunia. Dengan kerjasama FitsAir, kami berharap dapat mengembangkan perkhidmatan kami ke Jeddah dengan lebih mudah dan ke destinasi seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA
