AM

WTCKL RAIH ANUGERAH ASEAN TOURISM STANDARDS, PERKUKUH PERANAN HAB MICE SERANTAU

31/01/2026 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mencatat sejarah di peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah ASEAN Tourism Standards 2026-2028 bagi 3rd ASEAN MICE Venue (Kategori Lokasi Pameran) bersempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2026 di Cebu, Filipina, semalam.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot pada majlis yang dirasmikan Setiausaha Pelancongan Filipina Christina Garcia Frasco selaku wakil negara tuan rumah yang memegang Kepengerusian ASEAN 2026.

WTCKL dalam satu kenyataan memaklumkan pengiktirafan berkenaan meletakkan pusat dagangan itu sebagai hab utama Acara Perniagaan, penganjuran pameran, persidangan dan acara berskala besar yang berimpak tinggi sejajar dengan aspirasi Malaysia

"Hal ini sekali gus meletakkan WTCKL dalam kalangan lokasi pameran yang memenuhi piawaian serantau ASEAN merangkumi aspek fizikal, teknologi, dan perkhidmatan serta tumpuan terhadap kualiti fasiliti, pengurusan pusat dan kepakaran pasukan yang bertugas," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan WTCKL dalam mengekalkan standard perkhidmatan bertaraf antarabangsa.

“Anugerah ini mencerminkan keupayaan WTCKL memenuhi piawaian ASEAN serta kesungguhan kami untuk terus menyediakan fasiliti pameran yang berkualiti, selamat dan kompetitif di peringkat serantau terutamanya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya. 

Beliau berkata WTCKL akan terus menumpukan kepada peningkatan infrastruktur dan pengurusan operasi sejajar dengan trend global, di samping memacu inovasi perkhidmatan melalui kerjasama strategik dengan rakan industri bagi memperkukuh ekonomi Acara Perniagaan yang mampan di rantau ini.

Irmohizam turut mengadakan pertemuan dengan Frasco bagi memaklumkan perkembangan WTCKL serta menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Filipina dalam memajukan industri acara perniagaan dan MICE serantau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL Fauzy Wahab menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai pemangkin untuk WTCKL terus memacu pertumbuhan dan kecemerlangan industri MICE melalui penekanan terhadap inovasi, relevansi dan pematuhan standard tinggi bagi setiap acara yang dianjurkan.

Anugerah ASEAN Tourism Standards dianjurkan bagi mengiktiraf organisasi dan fasiliti pelancongan yang memenuhi piawaian ditetapkan oleh negara anggota ASEAN, selaras dengan usaha meningkatkan kualiti serta keseragaman industri pelancongan dan MICE di rantau ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan