AM

P.PINANG AKAN LAKSANA PROJEK PERINTIS SANGKAR BULAT MARIN BERTEKNOLOGI HDPE

31/01/2026 12:59 PM

GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan projek perintis sangkar bulat marin berteknologi High-Density Polyethylene (HDPE), yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan industri akuakultur marin secara mampan dan berimpak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata cadangan itu sebagai alternatif kepada sistem ternakan akuakultur sedia ada khusus bagi meningkatkan daya tahan industri terhadap cabaran perubahan iklim dan kekangan kawasan ternakan.

“Projek ini dijangka antara projek berimpak tinggi dalam sektor akuakultur Pulau Pinang dan akan dimohon di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fahmi berkata sangkar bulat marin dicadangkan itu mempunyai diameter 19 meter dan diperbuat daripada bahan HDPE yang lebih kukuh serta tahan lasak dengan setiap unit berupaya menghasilkan sehingga 20 metrik tan hasil akuakultur bagi satu kitaran ternakan.

Beliau berkata antara spesies ikan bernilai tinggi sesuai diternak menggunakan sistem itu ialah bawal emas, siakap, jenahak dan ikan merah selain beberapa spesies komersial lain.

“Keunikan utama teknologi sangkar bulat HDPE ini ialah ketahanan terhadap cuaca ekstrem seperti ribut dan taufan di samping reka bentuk bulat membolehkan pergerakan ikan lebih semula jadi kerana menyerupai habitat asal,” katanya.

Fahmi berkata projek itu juga sesuai diaplikasikan di kawasan laut terbuka yang lebih luas sekali gus meningkatkan pengeluaran tanpa memberi tekanan kepada zon ternakan sedia ada.

Pelaksanaan projek itu dijangka dapat memperkukuh kedudukan negeri dalam pengeluaran makanan laut dan menyumbang secara signifikan kepada usaha meningkatkan keterjaminan makanan pada peringkat negeri dan nasional.

Fahmi berkata inisiatif itu mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan negeri dalam meneroka teknologi moden yang lebih berdaya tahan dan berkapasiti tinggi, selari dengan keperluan pembangunan industri akuakultur yang mampan selain memberi manfaat jangka panjang kepada pengusaha serta ekonomi negeri.

Selain itu, beliau berkata Pulau Pinang antara negeri pengeluar utama hasil akuakultur marin di Semenanjung Malaysia dilihat berpotensi besar untuk menerajui penggunaan teknologi tersebut.

“Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong pembangunan industri akuakultur melalui penerokaan teknologi moden yang lebih berdaya tahan, berkapasiti tinggi dan mesra alam.

“Ini demi menjamin bekalan makanan, meningkatkan pendapatan pengusaha dan memacu pertumbuhan sektor agromakanan negeri secara mampan,” katanya.

Fahmi berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memastikan industri akuakultur kekal stabil dan terus berkembang secara mampan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan