Oleh Rozainah Abdul Rahim
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Nilai ringgit yang semakin mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat dapat memberi manfaat besar kepada sektor pendidikan, khususnya dalam mengurangkan kos pengajian pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Perkembangan positif itu turut memberi kelegaan kepada ibu bapa dan pelajar terutamanya dalam merancang dan menampung kos pendidikan serta sara hidup di luar negara.
Menerusi kenyataan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) memaklumkan pengukuhan nilai ringgit sememangnya memberi kelebihan dari sudut kos yang melibatkan perbelanjaan dalam mata wang asing seperti tajaan pendidikan pelajar ke luar negara.
“Dalam persekitaran ringgit yang lebih kukuh, kos keseluruhan pembiayaan termasuk yuran pengajian dan kos sara hidup dapat dioptimumkan, sekali gus membolehkan dana pendidikan digunakan dengan lebih berhemat dan memberi nilai yang lebih tinggi kepada pelaburan dalam pembangunan modal insan negara,” menurut PNB dalam kenyataan itu kepada Bernama.
Sejak lebih 30 tahun lepas, PNB memaklumkan telah memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan bakat melalui program tajaan pendidikan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM462 juta melibatkan 5,230 penerima, dengan sebahagian daripadanya untuk tajaan biasiswa pelajar di universiti terkemuka global.
“Pendekatan PNB sentiasa berteraskan kelestarian jangka panjang dan tanggungjawab amanah untuk meningkatkan modal insan negara yang dapat berdaya saing serta mampu menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara,” menurut kenyataan itu.
Awal minggu ini, ringgit mengukuh dan melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS dan meneruskan peningkatan yang bermula seminggu sebelumnya, sekali gus memaparkan pemulihan sentimen terhadap asas-asas ekonomi negara dan kestabilan politik.
Sementara itu, Pengurus Pendidikan Yayasan Perak Megat Zarul Ekram Rusni ketika dihubungi berkata pengukuhan nilai ringgit ketika ini adalah satu perkembangan signifikan dalam konteks pengurusan dana pendidikan, khususnya bagi bantuan kewangan pelajar ke luar negara di bawah Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP).
Beliau berkata kadar tukaran yang lebih memihak kepada ringgit menjadikan kos permulaan pengajian seperti yuran pendaftaran, tiket penerbangan dan keperluan awal pelajar lebih terkawal dari sudut nilai sebenar perbelanjaan.
“Keadaan ini secara langsung membantu pelajar memulakan pengajian dalam situasi yang lebih terancang dan selesa.
“Keadaan ini juga membolehkan bantuan tunai sekali beri (one-off) yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Perak dapat dimanfaatkan secara lebih optimum, memberikan nilai guna yang lebih tinggi kepada pelajar tanpa memerlukan sebarang pertambahan peruntukan,” katanya.
Pada masa sama, menurut beliau situasi itu memberi ruang kepada Yayasan Perak untuk memperkukuh tadbir urus kewangan penajaan, memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan diterjemahkan kepada akses pendidikan global yang lebih cekap, berkesan dan berimpak tinggi kepada pelajar tajaan negeri.
Berkongsi pandangan sama, Azra Karim, 49, mengakui pengukuhan ringgit dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua anak kembarnya berusia 21 tahun yang sedang mengikuti pengajian menerusi tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara.
"Seorang daripada anak perempuan saya sedang belajar jurusan ekonomi di Edinburgh (Scotland) manakala seorang lagi menuntut di Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Ireland.
"Alhamdulillah memang kini mereka lega kerana ada lebihan perbelanjaan daripada elaun yang diperoleh pelajar," katanya.
-- BERNAMA
