KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Juara Kejohanan Hoki Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan 2026 kategori bawah 14 (B-14), bawah 16 (B-16) dan bawah 18 (B-18) berpeluang ‘berguru’ di Pakistan selama seminggu menerusi program pembangunan.
Program berkenaan merangkumi latihan, perlawanan persahabatan serta sesi klinik bersama legenda hoki antarabangsa.
Pengarah kejohanan Bryan Lee berkata program itu antara matlamat utama penganjuran kejohanan, dengan pemain yang terpilih akan menyertai program khas di Pakistan bersama legenda hoki dunia, Shahbaz Ahmed, yang juga duta dan penasihat kejohanan berkenaan.
“Kejohanan yang kita sedang bincang ini adalah latihan bersama dengan pasukan sekolah atau pasukan negeri di Pakistan dengan perlawanan persahabatan dan perlawanan bersama pemain legenda antarabangsa.
“Pendedahan paling penting. Jadi (pemain) dapat bermain dan menimba ilmu bersama di negara tersebut. Dalam seminggu akan ada empat atau lima siri perlawanan dan banyak sesi klinik dengan legenda,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sementara itu, Shahbaz yakin para pemain muda tidak hanya memerlukan latihan formal, sebaliknya perlu mendapat suntikan inspirasi dengan bertemu tokoh-tokoh yang pernah mencipta sejarah dalam arena hoki dunia.
" … dan apa yang boleh saya lakukan adalah mengaturkan beberapa legenda yang terlibat dalam kejurulatihan peringkat tertinggi, seperti Tahir Zaman yang juga ketua jurulatih pasukan hoki Pakistan dan pendidik pertama hoki di Asia.
“Selain bintang seperti Kaleemullah dan Hassan Sardar, saya sendiri juga boleh berkongsi tip. Secara peribadi, saya berpendapat golongan belia di Malaysia tidak semestinya memerlukan latihan kejurulatihan yang formal, sebaliknya lebih memerlukan inspirasi agar mereka tertarik untuk menceburi sukan hoki,” katanya.
Mengulas isu infrastruktur di Pakistan, penasihat kejohanan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan kejayaan hoki tidak bergantung sepenuhnya kepada kemudahan bertaraf dunia, sebaliknya bermula daripada mentaliti dan semangat atlet.
Terdahulu, kejohanan berkenaan bagi kategori B-14 hanya melibatkan penyertaan pasukan tempatan, yang disasarkan untuk menghimpunkan masing-masing 40 pasukan lelaki dan perempuan, dengan saingan dijadual berlangsung di Stadium KPM, pada Mei ini.
Kategori B-16 turut dibuka kepada pasukan dari seluruh Malaysia dijangka masing-masing melibatkan 48 pasukan lelaki dan perempuan dengan perlawanan dirancang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, manakala tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Sementara itu, kategori B-18 akan menjadi kejohanan berstatus antarabangsa yang melibatkan pasukan luar negara dengan penyertaan sekurang-kurangnya 12 pasukan lelaki dan 12 pasukan perempuan dengan tempat dan tarikh akan diumumkan kemudian.
-- BERNAMA
