KEPALA BATAS, 3 Feb (Bernama) -- Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid bersedia memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa pegawai kanan kerajaan negeri dalam isu dana zakat.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata setakat ini MAINPP dan Zakat MAINPP telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang sedang menyiasat kes itu.
"Kita memberikan kerjasama sepenuhnya, sebagai YDP MAINPP dan dibantu oleh Setiausaha (MAINPP), mana-mana urusan yang berkaitan dengan kes itu, kita serahkan dokumennya. Setakat ini, beberapa pegawai telah dipanggil ke SPRM untuk bantu siasatan.
"Bagaimanapun, saya belum lagi dipanggil oleh SPRM dan saya bersedia untuk dipanggil untuk memberikan kerjasama kepada SPRM kerana ia telus dan semuanya mengikut sudut proses (ditetapkan)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (Mapaf) dan Sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Tahun 1447H/2026M, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai siasatan SPRM Pulau Pinang berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat di negeri itu.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dengan pasukan siasatan juga dilaporkan telah hadir ke beberapa pejabat yang disyaki terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan.
Sabtu lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa itu dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.
-- BERNAMA
