AM

AGONG BERKENAN TERIMA MENGHADAP MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

04/02/2026 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai laporan serta perkembangan semasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk tahap kesiapsiagaan dan keupayaan jabatan itu dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan awam serta mengendalikan operasi kecemasan di seluruh negara.

“Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan mengenai penganjuran Sambutan Hari Bomba Sedunia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Johor Bahru pada Mei tahun ini,” demikian menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohamad serta Timbalan Ketua Pengarahnya (Pembangunan) Datuk Othman Abdullah.

Sementara itu, Nga menerusi kenyataan berasingan berkata sambutan Hari Bomba Sedunia itu diadakan sempena Ulang Tahun ke-50, Jubli Emas Penyatuan JBPM di bawah Kerajaan Persekutuan dan dijangka dihadiri lebih 20,000 pengunjung.

Beliau berkata pada sesi sama, Kad Laporan KPKT 2025 bertajuk ‘KPKT Dekat di Hati: Detik Kejayaan KPKT Tahun 2025’ turut dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim, yang merangkumi pelbagai pencapaian kementerian sepanjang tahun lepas.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kementerian atas pencapaian cemerlang sepanjang tahun lepas, termasuk kejayaan meraih pengiktirafan di peringkat global serta memenangi Anugerah Pembangunan Negara,” katanya.

Antara pencapaian utama KPKT sepanjang 2025 ialah kejayaan menyediakan 511,544 unit rumah mampu milik yang melepasi sasaran 500,000 unit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, selain pembinaan 26,000 unit Rumah Mesra Rakyat bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Kementerian itu turut membina semula serta menyerahkan 18 rumah kepada mangsa insiden letupan gas di Kampung Sungai Baru, Putra Heights, dalam tempoh enam bulan.

Selain itu, dalam usaha melindungi kepentingan pembeli, sebanyak 1,333 projek perumahan swasta dan awam yang sakit serta terbengkalai berjaya dipulihkan, melibatkan hampir 160,000 pembeli, termasuk menyelamatkan projek Residensi Hektar Gombak yang tergendala sejak 2022.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan