SEREMBAN, 4 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang pegawai kanan tentera kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM28,000 sejak dua tahun lepas.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan bagi penyambungan kontrak perkhidmatan operator gambar, penjualan cenderamata fotografi serta daripada kontraktor yang mendapat kerja di tempat beliau bertugas.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman selama enam hari sehingga 9 Feb bagi membantu siasatan, selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, lelaki itu ditahan pada kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2025 ketika bertugas sebagai pengarah. Suspek disyaki menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM3,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
