AM

EMPAT REFORMASI UNDANG-UNDANG ISYARAT SERIUS MALAYSIA PERBAIKI SKOR CPI

04/02/2026 06:00 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Komitmen kerajaan untuk membentangkan empat reformasi undang-undang utama di Parlimen tahun ini dilihat sebagai isyarat jelas kesungguhan Malaysia memperkukuh integriti institusi dan tadbir urus negara, sekali gus berpotensi meningkatkan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Punitha Silivarajoo berkata kedudukan Malaysia di tangga ke-57 daripada 180 negara dengan skor 50 daripada 100 dalam CPI ketika ini mencerminkan keperluan mendesak kepada reformasi struktur dan sistemik, bukan langkah bersifat kosmetik.

Beliau berkata gabungan empat reformasi utama iaitu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat dan penubuhan Ombudsman Malaysia, secara langsung menyasarkan komponen teras yang dinilai dalam CPI. 

“CPI bukan hanya mengukur persepsi rasuah semata-mata, tetapi turut mengambil kira hala tuju dasar, komitmen reformasi serta keupayaan kerajaan melaksanakan perubahan institusi secara berkesan. Jadi ini merupakan tahun yang pentinglah untuk kita berikutan pembaharuan besar yang dilaksanakan.

“Apabila rakyat dan komuniti antarabangsa melihat sistem kita lebih terbuka, pendakwaan lebih bebas dan kuasa politik lebih terkawal, persepsi terhadap integriti negara akan bertambah baik dan ini diterjemahkan kepada peningkatkan skor CPI,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.

CPI yang diterbitkan oleh Transparency International menjadi rujukan utama pelabur, institusi kewangan dan komuniti antarabangsa dalam menilai tahap integriti sesebuah negara. Negara seperti Denmark, Finland dan Singapura terus menduduki tangga teratas dengan skor antara 84 hingga 90 (paling bersih).

Punitha berkata selaras pelaksanaan empat reformasi berkenaan, kerajaan menyasarkan peningkatan skor CPI Malaysia ke sekitar 68 hingga 70 dalam tempoh lima tahun akan datang untuk berada di kedudukan 25 teratas, selari dengan aspirasi memperbaiki imej negara dan memulihkan keyakinan pelabur antarabangsa.

Beliau berkata pelaksanaan reformasi undang-undang bukanlah proses segera, sebaliknya telah bermula sejak 2018 dan memerlukan libat urus menyeluruh melibatkan agensi kerajaan, badan kehakiman, ahli Parlimen serta pertubuhan masyarakat sivil. 

“Reformasi undang-undang bukan berlaku dalam satu malam. Setiap pindaan memerlukan kajian perbandingan antarabangsa, rundingan mendalam dan persetujuan pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan dan mampan,” katanya. 

Mengulas mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, Punitha berkata langkah itu penting bagi mengelak penumpuan kuasa politik jangka panjang yang sering dikaitkan dengan risiko rasuah dan kronisme.

“Prinsip utama di sebalik langkah ini ialah untuk memastikan tiada seorang sahaja individu memegang kuasa yang terlalu besar. Apabila kuasa tertumpu pada satu pihak, seseorang itu menjadi terlalu berpengaruh dan pada akhirnya akan membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

“Langkah ini juga membuka ruang kepada perancangan penggantian kepimpinan, dengan memberi peluang kepada generasi muda yang berpotensi untuk mengambil alih, sekali gus memastikan kesinambungan dan kelangsungan pentadbiran secara tersusun,” katanya.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan amalan demokrasi matang di negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia dan Filipina yang menetapkan had tempoh maksimum bagi ketua kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa jangka panjang.

Berkenaan reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Punitha berkata langkah itu bertujuan memastikan pendakwaan dijalankan secara bebas dan profesional, tanpa sebarang konflik kepentingan atau pengaruh politik. 

“Apabila fungsi penasihat undang-undang kerajaan dan pendakwaan diasingkan,  sistem keadilan khususnya jenayah akan lebih telus dan bebas daripada sebarang campur tangan,” katanya.

Model itu katanya telah lama diamalkan di negara seperti Kanada, Australia dan United Kingdom sebagai asas kepada kedaulatan undang-undang. 

Menjelaskan kepentingan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), Punitha berkata ia dirangka sebagai mekanisme keseimbangan yang memberi hak kepada rakyat untuk mengakses maklumat awam yang tidak menjejaskan kepentingan negara, di samping memastikan kerajaan terus melindungai maklumat sensitif.

Beliau berkata melalui FOI, rakyat boleh memohon hampir semua maklumat kerajaan yang tidak terkandung dalam senarai pengecualian, sekali gus mengurangkan penularan berita palsu dan meningkatkan ketelusan.

Permohonan akan diproses secara berstruktur oleh pegawai maklumat di setiap kementerian dan agensi, dengan tempoh masa yang ditetapkan, serta disertai hak rayuan hingga ke peringkat Ombudsman dan tribunal, menjadikan FOI bukan sekadar alat pendedahan, tetapi juga satu mekanisme pencegahan awal terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Pada masa sama, Punitha berkata penubuhan Ombudsman Malaysia yang merupakan institusi bebas akan melengkapkan rantaian reformasi dengan menyediakan saluran bebas kepada rakyat untuk menyalurkan aduan berhubung salah tadbir dan salah laku dalam perkhidmatan awam.

"Ombudsman akan menyiasat aduan secara telus dan bebas, melindungi pemberi maklumat serta membentangkan laporan kepada Parlimen untuk dibahaskan. Ini membina budaya kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata selain menyiasat aduan, Ombudsman juga akan berperanan sebagai badan kawal selia bagi pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat, termasuk mengurus tribunal rayuan bagi permohonan maklumat awam.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan