Oleh Nur Adlina Huda Zulkhairi
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan lebih RM2.6 juta zakat wakalah kepada 50 pelajar sejak 2019 untuk mengikuti kursus profesional dan pengajian berkaitan kewangan Islam, haji dan umrah menerusi Program IQRA' Plus sebagai usaha strategik melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata Program IQRA’ Plus ialah inisiatif bantuan pendidikan di bawah pelaksanaan zakat wakalah TH, dengan fokus utama kepada pembangunan kepakaran profesional dalam bidang yang selari dengan peranan dan mandat Tabung Haji sebagai institusi tabungan dan haji negara.
“Sebahagian daripada program zakat wakalah ini kita peruntukkan khusus untuk tujuan pendidikan kemahiran tinggi dan inilah Program IQRA’ Plus, untuk membina modal insan profesional,” katanya kepada Bernama selepas program tajaan asnaf peringkat sarjana kewangan Islam di Universiti INCEIF semalam.
Beliau berkata menerusi program itu, TH bukan sahaja memberikan tumpuan kepada pencapaian akademik, tetapi juga membangunkan bakat profesional yang mampu menyumbang secara langsung kepada industri kewangan Islam, pengurusan pelaburan serta operasi haji dan umrah.
Mustakim berkata sejak 2019, TH telah menaja 25 pelajar bagi mengikuti Program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dengan jumlah peruntukan melebihi RM1.5 juta, melibatkan pengajian sepenuh dan separuh masa.
“Daripada jumlah itu, 17 orang telah berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh status ACCA Affiliate".
“Selepas ACCA, kita lanjutkan pula kepada Program CFA (Chartered Financial Analyst) untuk melahirkan modal insan dalam pengurusan pelaburan. Setakat ini, sebanyak 10 orang ditaja, dengan dua orang telah menamatkan program dan selebihnya masih dalam pengajian,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kepakaran akademik dan profesional dalam kewangan Islam, TH turut menjalin kerjasama strategik dengan Universiti INCEIF menerusi Program SEED, yang memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat dalam industri kewangan Islam.
Menerusi kerjasama itu, TH menaja tujuh pelajar mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti INCEIF, melibatkan program Executive Master in Islamic Finance (eMIF), Master in Islamic Finance Practice (MIFP) dan Master of Science in Islamic Finance (MSc) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM212,000.
Mustakim berkata penglibatan TH dalam SEED selari dengan pendekatan institusi itu untuk bekerjasama rapat dengan pemain industri dan akademia bagi memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Organisasi seperti ACCA, CFA dan INCEIF terkenal melahirkan profesional yang boleh memberikan khidmat kepada industri. Kita mahu lebih ramai golongan asnaf yang kita bantu ini menjadi profesional dan suatu hari nanti pula menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Program terakhir yang kita laksanakan ialah Program Sarjana Muda Haji dan Umrah bersama dengan Universiti Islam Melaka, kita menaja lapan pelajar sepenuh masa bagi tempoh pengajian selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan, impak Program IQRA’ Plus bukan sahaja tertumpu kepada golongan profesional, malah turut merangkumi pembangunan modal insan merentasi pelbagai peringkat masyarakat.
“Tujuan kita supaya tidak ada golongan masyarakat yang tertinggal. Daripada mereka yang dahulunya menerima zakat, satu hari nanti merekalah pula yang akan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
Mustakim berkata TH akan terus menilai dan menyesuaikan pelaksanaan program zakat wakalah untuk pendidikan dari semasa ke semasa, termasuk mempertimbangkan peluasan bidang pengajian baharu selari dengan keperluan semasa dan hala tuju institusi.
-- BERNAMA
