AM

MOSTI PERKENAL DANA SCA HINGGA RM1 JUTA PACU PENGKOMERSIALAN R&D

05/02/2026 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperkenalkan dana baharu berasaskan pendekatan Structured Commercialisation Accelerator (SCA) yang menyediakan pembiayaan hingga RM1 juta bagi setiap projek berimpak tinggi, dengan permohonan dibuka pada suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata inisiatif itu bertujuan memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dapat dipercepat ke peringkat pasaran serta memberikan manfaat kepada pengguna sebenar.

“R&D teknologi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik nasional. R&D merupakan pemacu utama kepada produktiviti, daya saing industri, penciptaan teknologi baharu serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi MOSTI di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata Laporan R&D Kebangsaan 2023 menunjukkan pelaburan R&D negara masih belum mencapai sasaran, dengan nisbah perbelanjaan kasar R&D kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) hanya 1.01 peratus pada 2022 berbanding sasaran 2.5 peratus menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Bagaimanapun, perbelanjaan R&D sektor swasta meningkat ketara daripada 34.2 peratus pada 2020 kepada 51.4 peratus pada 2022, menjadikan sektor perniagaan penyumbang terbesar kepada perbelanjaan R&D negara.

Dari segi modal insan, Mohammad Yusof berkata bilangan penyelidik meningkat 72.5 peratus daripada 53,205 orang pada 2020 kepada 91,789 pada 2022, namun negara masih memerlukan kira-kira 220,000 penyelidik bagi memenuhi penanda aras 200 penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata MOSTI melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penstrukturan semula geran penyelidikan berfokuskan mission-oriented R&D, pengukuhan kerjasama industri-akademia melalui pendekatan co-creation serta peluasan penggunaan geran padanan bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam R&D berimpak tinggi.

Selain itu, Mohammad Yusof berkata Indeks Inovasi Malaysia (MII) diperkenalkan sebagai instrumen dasar strategik bagi menyediakan profil inovasi setiap negeri dan membantu perancangan intervensi R&D secara lebih bersasar, sekali gus mengurangkan ketidakseimbangan geografi R&D yang kini tertumpu di Lembah Klang.

Beliau turut memaklumkan MOSTI melalui MIMOS sedang membangunkan keupayaan pengesanan kandungan deepfake (palsu asli atau palsu tulen) secara berperingkat merangkumi imej, video dan audio bagi membantu pihak berkuasa menangani penyalahgunaan teknologi itu untuk penipuan dan penyebaran maklumat palsu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan