KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kerajaan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang merancang pembangunan sistem pangkalan data bersepadu merentas agensi terhadap pemandu kenderaan berat bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih berkesan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pendekatan itu bertujuan mengenal pasti rekod lampau pemandu lebih awal serta mengelak pemandu yang mempunyai sejarah kesalahan berulang terus dibenarkan beroperasi.
“Pembangunan sistem ini dirancang secara berfasa dengan tumpuan kepada integrasi bersama pangkalan data sedia ada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (ADDK) dan agensi berkaitan selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022 hingga 2030.
“Ia supaya data ini dapat dikongsikan…dengan teknologi digital yang canggih semuanya boleh dilakukan dengan semua data boleh digabungkan dan dikongsikan,” katanya ketika menjawab isu rekod lampau dalam industri kenderaan berat yang dibangkitan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata penyepaduan data itu membolehkan pihak berkuasa mengetahui latar belakang setiap pemandu sedia ada dan juga bagi tujuan pengambilan baharu, sekali gus menyokong tindakan penguatkuasaan dan intervensi yang lebih tepat.
Menerusi usaha itu juga, Hasbi berkata kerajaan tidak lagi hanya menumpukan kesalahan kepada pemandu semata-mata, sebaliknya turut mengenakan akauntabiliti ke atas pengendali bagi memastikan mereka memainkan peranan aktif memantau disiplin, rekod dan kelayakan pemandu yang diambil bekerja, sekali gus mengelakkan kejadian berulang melibatkan pemandu dan kenderaan yang mempunyai sejarah kesalahan trafik.
“…sekiranya anda mengambil dan menggaji pemandu, anda juga harus memantau pemandu anda. Kegagalan pengendali mematuhi keperluan ini boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil termasuk penggantungan atau pembatalan lesen pengendali,” katanya.
Mengulas penguatkuasaan sedia ada, beliau berkata pemandu kenderaan berat tertakluk kepada peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk penggantungan atau pembatalan lesen memandu serta Lesen Vokasional PSV (Perkhidmatan Awam) dan GDL (Kenderaan Barangan), selain tindakan saman, pendakwaan dan sistem mata demerit bagi kesalahan berulang dan serius.
Beliau berkata berdasarkan statistik JPJ, sebanyak 715 lesen GDL dan 293 lesen PSV telah digantung antara 2023 hingga 2025.
Pada masa sama, Hasbi berkata bagi mengawal risiko pemanduan berbahaya khususnya berkaitan kelajuan, kerajaan juga melaksanakan penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD) secara berfasa ke atas kenderaan perdagangan.
“Sebanyak 63,127 daripada 513,679 kenderaan perdagangan iaitu 12 peratus telah memasang SLD sehingga 14 Jan 2026 dan JPJ akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, Hasbi berkata kerajaan turut menekankan latihan semula dan pembangunan kompetensi pemandu sebagai langkah pencegahan jangka panjang, termasuk cadangan pelaksanaan kursus pemulihan mandatori kepada pemegang lesen vokasional yang digantung, yang kini masih di peringkat kajian dasar oleh Kementerian Pengangkutan bersama JPJ.
“Inisiatif ini sedang dipertimbangkan sebagai langkah penambahbaikan kepada pendekatan penguatkuasaan sedia ada dengan menambah elemen pendidikan, pemulihan dan pembetulan tingkah laku,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sebagai sokongan kepada pendekatan kawal selia berasaskan prestasi, kerajaan melaksanakan Penarafan Keselamatan Pengendali Bas Malaysia (MBOSR) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi menilai prestasi keselamatan pengendali secara objektif.
“Pelaksanaan penarafan ini membolehkan maklumat rekod keselamatan lampau pengendali dianalisis secara lebih sistematik dan dijadikan input kepada agensi pengangkutan awam darat dalam mempertimbangkan pelesenan, pembaharuan permit serta tindakan pentadbiran,” katanya.
-- BERNAMA
