AM

BERNAMA PERLU DIPOSISIKAN SEBAGAI SUMBER RUJUKAN KEBENARAN NASIONAL - ABDUL HALIM

05/02/2026 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) wajar diposisikan sebagai institusi kepercayaan selain menjadi sumber rujukan kebenaran nasional, dalam usaha memperkukuh ekosistem komunikasi negara serta menangani cabaran maklumat palsu dan manipulasi digital.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata Bernama bukan sahaja sebuah institusi media nasional yang berwibawa, tetapi juga berperanan penting sebagai nadi penyampaian maklumat sahih, beretika dan berimbang kepada rakyat serta masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata dalam era teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), deepfake dan maklumat terpesong serta landskap komunikasi yang semakin mencabar, peranan Bernama sebagai sumber berita dipercayai semakin kritikal.

"Agensi berita ini juga berperanan sebagai pemegang naratif negara pada peringkat global selain merupakan platform utama penceritaan Malaysia ke dunia yang bersifat penjelasan, bukannya propaganda,” katanya dalam ucapan sewaktu hadir mengadakan lawatan ke Wisma Bernama di sini hari ini. 

Abdul Halim tiba di lobi Wisma Bernama pada 3.15 petang dan disambut oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson serta barisan pengurusan tertinggi agensi berita itu.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Datuk Aminurrahim Mohamed.

Sementara itu, dalam usaha mengukuhkan peranan Bernama sebagai sumber berita dipercayai, Abdul Halim turut mencadangkan supaya agensi berita nasional berkenaan mengukuhkan fungsi pengesahan fakta (fact-checking) berautoriti serta mewujudkan trust mark Bernama bagi kandungan telah diverifikasi.

Dalam ucapannya, Abdul Halim yang menyifatkan Bernama sebagai tulang belakang ekosistem media negara berkata agensi berita itu juga berperanan sebagai benteng literasi media dan demokrasi maklumat.

"Bernama mempunyai peranan awam yang semakin kritikal, termasuk sebagai rakan strategik kerajaan dalam menangani maklumat tidak tepat, selain berperanan menghasilkan kandungan pendidikan tentang cara mengenal maklumat palsu termasuk menganjurkan program literasi kepada masyarakat awam.

"Dalam pelaburan jangka panjang, Bernama perlu kekal sebagai institusi bakat dan etika kewartawanan yang melahirkan wartawan yang faham teknologi, data, dasar serta kemanusiaan, sekali gus menjadi penanda aras kepada etika media di negara ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Bernama yang sentiasa berusaha memperkukuh kewartawanan berkualiti, memanfaatkan teknologi digital, serta memastikan naratif negara disampaikan dengan tepat dan bertanggungjawab.

"Perkara ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kepercayaan, integriti dan ketelusan dalam penyampaian maklumat," katanya.

-- BERNAMA 


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan