JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH PERSEKUTUAN PUTUSKAN PERKATAAN "JELIK" DAN "MENYAKITKAN HATI" SELARAS PERLEMBAGAAN

06/02/2026 05:01 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa perkataan “jelik" dan "menyakitkan hati" di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sah serta selaras dengan Perlembagaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa sebarang komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain adalah suatu kesalahan jenayah.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan bersejarah itu selepas membenarkan sebahagian rayuan kerajaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kedua-dua perkataan di bawah akta berkenaan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, 

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Nallini berkata seksyen berkenaan bertujuan untuk mengawal penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian dengan matlamat menyediakan persekitaran dalam talian yang selamat.

“Seksyen itu bertujuan melindungi individu dan masyarakat daripada mengalami sebarang kemudaratan akibat penggunaan perkataan tidak wajar sedemikian,” katanya sambil menegaskan seksyen itu menyasarkan komunikasi yang berada di luar skop kebebasan bersuara dan kebebasan menyatakan pendapat.

“Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, isu kaum dan agama adalah sangat penting. Seksyen berkenaan memastikan bahawa komunikasi yang menyinggung sensitiviti setiap kaum dalam masyarakat majmuk yang merupakan penduduk negara ini adalah dilarang.

“Individu juga tidak terkecuali. Apabila komunikasi menyinggung dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati seseorang secara berulang-ulang dalam tempoh tertentu sehingga individu itu mencederakan atau membahayakan dirinya, maka Seksyen 233(1)(a) menjadi amat relevan dan diperlukan,” katanya sambil menambah seksyen itu tidak bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan bahawa komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dengan niat menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu tidak boleh dikawal di bawah akta berkenaan sekali gus mendedahkan sebahagian pengguna dalam talian kepada penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar yang melibatkan penghantaran komunikasi sedemikian secara sengaja.

Bagaimanapun, berhubung kes aktivis Heidy Quah, Nallini berkata mahkamah berpendapat pendakwaan sepatutnya tidak diteruskan kerana kandungan hantaran beliau di Facebook adalah dalam skop hak kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat di bawah Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh dijadikan asas untuk mendakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) akta itu.

Ketika mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa tiada asas untuk mendakwa Quah, Nallini berkata pendakwaan terhadapnya di bawah seksyen itu tidak wajar kerana kandungan hantaran di Facebook tidak termasuk dalam ruang lingkup peruntukan tersebut sebaliknya melibatkan fakta dan pandangan yang dilindungi oleh hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat seperti termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata hantaran Quah tidak tergolong dalam komunikasi yang “jelik dengan niat untuk menyakitkan hati” kerana kandungannya tidak jelik dan elemen mens rea iaitu niat untuk menyakitkan hati tidak wujud.

Pada Julai 2021, Quah, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan jelik menerusi hantaran di Facebook dan pada 2022, beliau dilepas tanpa dibebaskan selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) terhadapnya adalah cacat.

Bagaimanapun, Nallini berkata hakikat bahawa kesilapan mendakwa Quah mengikut Seksyen 233(1)(a) tidak mewajarkan pembatalan perkataan "jelik" dan "menyakitkan hati" daripada seksyen itu, dan pendakwaan terhadap Quah adalah isu berasingan serta terpencil daripada isu keperlembagaan kedua-dua perkataan dalam Seksyen 233 (1)(a).

Ketika menyampaikan penghakiman terakhirnya, Nallini juga berkata hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) membolehkan penggunaan hak itu secara teratur dan terkawal, sambil menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan melindungi ekspresi yang tulen, bukannya komunikasi bagi menyebabkan kecederaan atau kemudaratan.

Nallini dijangka bersara bulan ini.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan "jelik" dan "menyakitkan hati" dalam Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan serta membatalkannya selepas membenarkan rayuan Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin mewakili pihak kerajaan manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar, New Sin Yew dan A.Surendra Ananth bertindak bagi pihak Quah.

Peguam Benjamin John Dawson mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Peguam K. Shanmuga pula mewakili Majlis Peguam Malaysia manakala Lim Wei Jiet mewakili Suara Rakyat Malaysia, Clooney Foundation for Justice serta Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (Ibahri).

Keempat-empat organisasi itu hadir sebagai amicus curiae (rakan mahkamah).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan