Oleh Abdul Hamid A Rahman and Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Satu rangka kerja perundangan yang komprehensif dalam bentuk Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Nasional akan memperkukuh lagi pelaksanaan agenda pembangunan industri dan bakat Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Pakar TVET di Majlis Pakar Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (Pendidikan) Dr Zainal Azhar ZA berkata perundangan ini akan memberikan struktur yang lebih jelas selain kuasa kepada usaha penyelarasan yang sedang dijalankan terutamanya untuk pembangunan jangka panjang.
"Akta yang dicadangkan itu akan memperkasakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan menyediakan mekanisme institusi yang lebih kukuh untuk menyelaraskan usaha antara kementerian, kerajaan negeri, agensi dan pemain industri,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Pada masa ini, katanya, Malaysia tiada Akta TVET Nasional yang tunggal dan berdiri sendiri.
Sebaliknya, sektor ini ditadbir melalui gabungan perundangan sedia ada seperti Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006, undang-undang berkaitan pendidikan dan instrumen dasar.
Bagaimanapun, Zainal berkata NIMP 2030 menyediakan hala tuju yang jelas dan ada kesinambungan dengan meletakkan TVET sebagai pemacu utama dalam peningkatan industri.
"NIMP 2030 memberikan TVET tujuan ekonomi yang jelas dan hala tuju yang tepat," katanya.
Beliau berkata di bawah pelan ini, MITI memainkan peranan kepimpinan utama dalam menyelaraskan pembangunan bakat dengan keperluan industri terutamanya dalam sektor yang bernilai tinggi, berteraskan teknologi dan berorientasikan masa depan.
Beliau berkata, peranan yang jelas dan mekanisme pembiayaan yang jelas akan membantu memastikan pelaksanaan yang lebih lancar di lapangan sambil mengukuhkan peranan MITI sebagai penyelaras dasar utama bagi inisiatif TVET yang dipacu industri.
"Selain itu, terdapat kepentingan untuk menangani aspek permintaan dalam ekosistem terutamanya keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang landskap industri Malaysia.
"PKS perlu disokong untuk bergerak ke peringkat yang lebih tinggi dalam rantaian nilai supaya mereka dapat menikmati sepenuhnya manfaat daripada tenaga kerja terlatih yang sedang dibangunkan di bawah NIMP 2030.
"Apabila PKS dinaik taraf bersama syarikat-syarikat besar, graduan TVET dapat diserap dan dikekalkan dengan lebih baik," katanya.
Beliau menambah ini akan membolehkan TVET berfungsi bukan sahaja sebagai laluan latihan kemahiran tetapi juga sebagai pemangkin ekonomi yang menyokong pertumbuhan produktiviti, kemajuan gaji dan hubungan industri yang lebih kukuh.
Mengenai penjenamaan TVET, Zainal berkata persepsi yang lemah masih menjadi satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi TVET di Malaysia walaupun terdapat peluang dan infrastruktur yang kukuh.
"Apabila tiada tonggak penjenamaan yang jelas, naratifnya akan menjadi kabur dan orang ramai gagal melihat TVET sebagai laluan masa depan. Penjenamaan bukan sekadar mengenai promosi tetapi tentang memberi isyarat kepada hasrat dan hala tuju negara.
"Penjenamaan memberitahu ibu bapa, pelajar dan industri apa yang ingin dicapai oleh TVET dan di mana kedudukannya dalam perjalanan ekonomi negara," katanya.
Dalam hal ini, Zainal mencadangkan supaya TVET lebih diselaraskan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkukuh kaitannya dengan inovasi, teknologi canggih dan industri masa depan.
"Apabila TVET dikaitkan dengan sains, teknologi dan inovasi, persepsi akan berubah secara automatik ke arah kemajuan dan peluang," katanya.
Beliau turut menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di semua peringkat TVET termasuk dalam pengajaran dan penilaian.
Katanya AI perlu diterima pakai, bukannya dihadkan.
"Biarkan pelajar menggunakan AI. Apa yang penting bagaimana mereka berfikir dan berinteraksi dengan AI, bukan (mengharamkan) alat itu secara keseluruhan," tambahnya.
-- BERNAMA
