KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah telah merangka dan menyelaras Pelan Tindakan Interim untuk mengatasi masalah kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata pelan itu merupakan langkah mitigasi sementara menunggu penyiapan projek pembesaran pelabuhan yang sedang dijalankan.
“Pelan interim yang diluluskan oleh Jemaah Menteri ini memberi tumpuan kepada pengoptimuman kapasiti sedia ada, pengurusan aliran kontena yang lebih cekap serta penguatkuasaan peraturan operasi pelabuhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ewon berkata antara langkah utama yang dirangka adalah penyediaan tapak kontena tambahan sementara bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena dan mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan.
“Kemudahan ini dijangka mula beroperasi pada penghujung Mac 2026, tertakluk kepada penyempurnaan kerja penyediaan tapak dan keperluan operasi berkaitan.
“Kadar tarif penyimpanan kontena yang disemak semula juga akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelepasan kontena dengan lebih pantas, seterusnya mengurangkan kesesakan di kawasan penyimpanan kontena,” katanya.
Ewon berkata bagi menyokong kelancaran operasi logistik, satu tapak parkir trailer di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah dikenal pasti untuk digunakan.
“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan serta melancarkan pergerakan keluar masuk trailer dan kontena.
“Semua syarikat pengangkutan yang terlibat akan diwajibkan menggunakan Sistem Tempahan Kenderaan (VBS) secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada keperluan operasi, bagi menyusun pergerakan kenderaan secara lebih terancang dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan pelaksanaan pelan tindakan interim itu penting dari sudut keperluan operasi segera dan membawa impak langsung terhadap pengurangan kesesakan.
“Kementerian yakin langkah tersebut mampu mengekalkan daya saing Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar, memastikan kelangsungan rantaian bekalan, serta memelihara keyakinan pemain industri dan pelabur sehingga pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar disiapkan sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA
