SUKAN

MALAYSIA GAGAL KE SEPARUH AKHIR, TEWAS KEPADA JEPUN

06/02/2026 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kempen skuad lelaki negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun, hari ini, sekali gus gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi 2024.

Kekalahan itu turut menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir, sekali gus terlepas slot kelayakan automatik ke Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan, di mana hanya empat pasukan terbaik layak secara merit melalui kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, peluang skuad negara masih belum tertutup kerana berpeluang layak sebagai antara tiga pasukan terbaik dalam kalangan negara yang tidak layak menerusi kejohanan benua.

Perlawanan suku akhir bermula dengan aksi perseorangan utama apabila Justin Hoh memberikan tentangan sengit sebelum tewas kepada Yushi Tanaka 17-21, 22-20, 11-21, sekali gus meletakkan Malaysia ketinggalan 0-1.

Tugas getir menanti beregu lelaki negara, Arif Junaidi dan Yap Roy King, namun pasangan itu gagal mengatasi tekanan permainan kemas gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sebelum akur dengan kekalahan straight set 14-21, 12-21.

Kekalahan Malaysia disahkan dalam perseorangan kedua apabila Aidil Sholeh, yang memulakan perlawanan dengan kemenangan set pertama, tidak mampu mengekalkan momentum sebelum tewas 22-20, 11-21, 3-21 kepada Koki Watanabe.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad lelaki negara dalam kejohanan ini ialah memenangi pingat emas pada edisi 2022 selain meraih pingat perak pada edisi 2020 dan 2024 serta gangsa pada edisi 2018.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan